KUALA LUMPUR, 10 April -- Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju melantik enam jurulatih baharu seperti dimohon Olahraga Malaysia (MA) bagi memperkasakan persiapan menghadapi beberapa kejohanan penting termasuk Sukan SEA 2025 di Thailand pada hujung tahun ini.
Perkara itu dipersetujui semasa pertemuan antara Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin bersama delegasi MA diketuai Presidennya Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di sini.
Enam jurulatih baharu itu terdiri daripada tiga kepakaran dari luar negara manakala tiga lagi adalah tenaga tempatan merangkumi aspek kejurulatihan bagi disiplin pecut, lontaran dan lompatan.
“Saya telah bertemu Presiden MA, Datuk Seri Shahidan dan kami telah bersetuju dengan pelantikan enam jurulatih berkenaan selari dengan perancangan dikemukakan MA kepada MSN.
"Butiran dan pengumuman senarai nama jurulatih akan dilakukan pihak MA kelak," kata Jefri dalam kenyataan hari ini.
Selasa lepas, pelantikan barisan kejurulatihan baharu skuad olahraga negara dimaklumkan berada dalam fasa akhir oleh Pengurus Besar MA Nurhayati Karim yang berkata pihaknya menunggu lampu hijau daripada MSN selepas menghantar senarai nama jurulatih kepada badan induk itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial