KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Penampilan sulung acara memanah compound pada temasya Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28) membuka peluang tambahan kepada kontinjen negara untuk memburu pingat.
Penganalisis sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli bagaimanapun berkata sasaran pingat emas pertama Malaysia tetap perlu dinilai secara realistik kerana atlet negara bakal berdepan cabaran hebat daripada kuasa-kuasa besar memanah compound dunia.
Beliau berkata tumpuan pada ketika ini seharusnya diberikan kepada perancangan program latihan dan proses kelayakan untuk melayakkan diri terlebih dahulu.
“Saya tak berani kata acara compound ini secara tak langsung boleh buka peluang lebih besar dalam pemburuan pingat emas sulung negara. Elok kita sertai dulu, kita perlu sedar sebenarnya tambahan acara ini buka peluang lebih besar kepada jaguh memanah compound Asia seperti Korea Selatan, India dan Taiwan.
“Itu tidak termasuk pasukan-pasukan lain yang berada di ranking tertinggi dunia dalam acara compound seperti Turkiye, Itali, Amerika Syarikat, Perancis, Belanda dan Mexico,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Pekan berkata kedudukan atlet memanah negara ketika ini yang berada di luar ranking 20 terbaik dunia juga belum cukup untuk menjadikan acara compound sebagai sandaran utama emas di LA28.
“Jaguh-jaguh dari Eropah seperti Mike Schloesser dari Belanda, Mathias Fullerton (Denmark) dan beberapa jaguh Amerika Syarikat sudah pasti mengidam emas sulung mereka di LA28.
“Kita memang ada jaguh acara ini seperti Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Arif Aqil Muhammad Ghazalli dan Syafiq Md Ariffin yang memenangi pingat gangsa acara berpasukan compound pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, namun biarlah kita ukur baju di badan sendiri,” tambah beliau.
Justeru, Pekan menyarankan supaya Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) mengambil langkah proaktif dengan memulakan latihan intensif buat skuad compound kebangsaan seawal mungkin.
Beliau berkata pendekatan latihan tambahan yang lebih lasak perlu diberi penekanan bagi memperkukuh ketahanan mental atlet, khususnya ketika berdepan tekanan tinggi dalam temasya sukan berprestij.
Selain itu, Pekan berkata NAAM juga perlu memperbanyakkan penyertaan pemanah negara dalam kejohanan peringkat benua dan dunia yang lebih kompetitif bagi membolehkan mereka menimba pengalaman dan memperbaiki kedudukan dalam ranking antarabangsa.
“… dan yang terakhir perlu memikirkan kaedah latihan dan khidmat jurulatih yang lebih spesifik serta berkaliber dalam acara compound,” katanya.
Minggu lepas, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan untuk memasukkan acara memanah compound berpasukan campuran dalam senarai pingat dipertandingkan di LA28.
Kejayaan terbaharu skuad compound kebangsaan adalah menerusi gandingan Alang Arif dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh yang mencipta pencapaian membanggakan dengan memenangi pingat emas acara berpasukan campuran pada Piala Asia 2025 di Bangkok, Februari lepas.
Kontinjen Malaysia sentiasa mempunyai pemanah yang layak secara merit untuk acara recurve dalam beberapa temasya Sukan Olimpik sebelum ini termasuk tiga pemanah pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial