SUKAN > BERITA

ZII JIA, AARON-WOOI YIK TERSENARAI DALAM PROGRAM RTG 2025

15/04/2025 07:52 PM

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dan pasangan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, antara 16 atlet yang disenaraikan di bawah Program Road to Gold (RTG) bagi persiapan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa RTG yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, hari ini.

Hannah berkata pemilihan atlet itu dibuat berdasarkan kriteria ketat seperti yang dibicangkan mesyuarat Jawantankuasa RTG pada hari ini, iaitu berada dalam kelompok ranking 10 terbaik di dunia selain merupakan pemenang pingat di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kita telah mengenal pasti atlet yang layak untuk menerima sokongan RTG berdasarkan kriteria ketat termasuk pemenang pingat Olimpik terdahulu dan kedudukan ranking 10 terbaik dunia.

“Setiap atlet yang tersenarai akan diwajibkan menandatangani perjanjian komitmen bersama kerajaan, bagi memastikan pelaburan negara memberi pulangan yang setimpal. Duit yang dibayar oleh kerajaan ini mesti ada akauntabiliti daripada atlet. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya tarik diri atau menukar pasangan menjelang Olimpik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa RTG di Menara KBS hari ini.

Hannah berkata Jawatankuasa RTG turut mengumumkan kriteria baru bagi atlet di bawah program berkenaan, iaitu mereka perlu mengekalkan kedudukan lapan terbaik dunia dan memenangi pingat di Sukan Asia dan Komanwel untuk tahun 2026.

Selain itu, atlet terlibat juga perlu berada di ranking empat terbaik dunia dan empat teratas di kejohanan dunia untuk tahun 2027 dan 2028.

Dalam pada itu, Hannah turut mengumumkan dana sebanyak RM10 juta bagi program RTG untuk tahun 2025.

“Untuk tahun ini dana bagi program RTG ialah RM10 juta dan ia akan berbeza untuk tahun seterusnya bergantung kepada pengumuman Perdana Menteri ataupun Kementerian Kewangan,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras RTG Datuk Stuart Ramalingam berkata jawatankuasa RTG memberi masa sehingga Mei ini, untuk atlet terpilih menerima tawaran yang diberikan jawatankuasa itu.

“Apa yang dibawa ke mesyuarat bulan Mei nanti ialah pengesahan program dan pengesahan komitmen atlet. Semua nama yang disebut bermula sekarang akan diberi perhatian serius,” katanya.

 

Berikut senarai atlet dalam Program RTG 2025:

 

Badminton:

1. Aaron Chia

2. Soh Wooi Yik

3. Lee Zii Jia

4. Pearly Tan

5. M. Thinaah

6. Chen Tang Jie

7. Toh Ee Wei

8. Goh Sze Fei

9. Nur Izzuddin Rumsani

10. Goh Soon Huat

11. Shevon Lai

12. Man Wei Chong

13. Tee Kai Wun

 

Basikal Trek

14. Mohd Shah Firdaus Sahrom

15. Nurul Izzah Izzati Mohd Asri

 

Angkat Berat:

16. Mohd Aniq Kasdan Angkat Berat

 

Atlet Fast Track RTG:

 

Skuasy:

1. Ng Eain Yow Skuasy

2. S. Sivasangari

 

Memanah:

1. Ariana Nur Dania Mohamad ZairiS

2. Syaqiera Mashayikh

3. Nurul Azreena Fazil

 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan