SUKAN > BERITA

KBS UMUM DANA RM1.5 JUTA BAGI PROGRAM NSTDP

14/04/2025 10:58 PM

KUALA LUMPUR, 14 Apr (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan RM1.5 juta yang disalurkan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) yang dilancarkan hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata beliau percaya dengan adanya program itu bakat kita mampu melahirkan kumpulan pemain yang lebih besar demi kemajuan sukan sepak takraw pada masa akan datang.

“Sukan sepak takraw bukanlah satu sukan yang mahal dan wajar kita bangunkan dan perjuangkan.

“Saya lihat di kawasan luar bandar baik komuniti Orang Asli dan golongan wanita sukan sepak takraw ini popular. Saya percaya dengan jumlah itu mereka boleh buat pelbagai program pembangunan dan berharap ini satu permulaan baik buat sukan sepak takraw,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran NSTDP di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan.

Ketika diminta mengulas berkenaan penyenaraian semula sepak takraw yang digugurkan pada 2017, Hannah berkata perkembangan itu mampu memajukan lagi sukan berkenaan di Malaysia.

“Dengan kemasukan semula sukan sepak takraw ia akan mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan KBS. 

“Saya percaya pelan pembangunan yang dibuat PSM dapat diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sumali berkata pelancaran NSTDP menjadi satu lembaran baharu buat sukan sepak takraw di Malaysia.

Beliau menyasarkan NSTDP dalam melahirkan para pemain yang berkualiti dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

“Saya mengakui ia bukanlah satu tugas mudah untuk kita capai. Bagaimanapun, kita akan cuba mencapai misi itu menerusi penubuhan NSTDP,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan