PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertimbangkan semula keputusan memisahkan pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Beliau berkata pengekalan pasangan yang berada dalam kelompok empat terbaik dunia itu penting bagi memastikan mereka terus tersenarai dalam Program Road to Gold (RTG) menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Bagaimanapun, katanya kehadiran mereka dalam program RTG hanya akan diteruskan sekiranya mereka kekal sebagai gandingan dalam acara beregu campuran.
"Saya tidak mahu ada situasi di mana pemain beregu badminton tiba-tiba mahu tukar pasangan. Tidak boleh begitu kerana negara sudah melabur banyak wang untuk mereka. Oleh itu, kita perlukan disiplin daripada atlet juga.
"Saya mahu pastikan BAM dan pemain menunjukkan komitmen serta tidak membuat keputusan secara sewenang-wenangnya," katanya pada sidang media di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.
Pada bulan lalu, BAM mengumumkan gandingan beregu campuran itu akan dipisahkan untuk kejohanan akan datang, selain memberi ruang kepada jurulatih mencuba kombinasi baharu susulan ketegangan dalam hubungan mereka sejak temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam perkembangan berkaitan, Hannah memaklumkan pelumba basikal trek negara Datuk Muhammad Azizulhasni Awang tidak lagi tersenarai dalam program RTG kerana kedudukannya sudah terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia.
Menurutnya, dua atlet berbasikal yang tersenarai dalam program RTG tahun ini ialah Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial