SUKAN > BERITA

MAZLAN TINGGALKAN NAMA, LEGASI TERUS DIKENANG ARENA SUKAN NEGARA

15/04/2025 02:20 PM

PETALING JAYA, 15 April (Bernama) -- Jasa dan sumbangan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Mazlan Ahmad yang meninggal dunia petang semalam, tidak terhitung dalam memajukan sukan negara.

Bekas Ketua Pengarah MSN dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata Allahyarham yang menerajui MSN selama 12 tahun terkenal sebagai arkitek dalam pembangunan sukan negara telah membuka laluan kepada penerapan sains sukan selain menetapkan penanda aras tinggi dalam pengurusan prestasi atlet serta struktur pentadbiran sukan bersepadu.

“Banyak jasa dan bakti bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi apa yang dikesankan dalam sukan dan ini tentu sekali diakui oleh pengganti-pengganti Allahyarham. 

“… dan pastinya kami sentiasa mengenangkan contoh diberi kepada kita supaya dapat teruskan perjuangan Allahyarham,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengebumian Mazlan, 75, di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, di sini hari ini.

Bekas Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dari 1992 hingga 1994, Ghazali Bujang berkata Allahyarham memainkan peranan besar dalam membina asas pembangunan renang dan sukan terjun negara.

“Kami kenal sejak tahun 60-an, satu kampung dan sekolah sama di Alam Shah. Ketika saya terajui ASUM, beliau Ketua Pengarah MSN. Saya minta sokongan beliau dalam pengurusan sukan dan beliau terus beri dorongan kuat.

“Malah beliau sendiri melihat potensi Malaysia dalam sukan terjun berbanding acara lain yang memerlukan kekuatan fizikal dan saiz badan. Katanya, terjun lebih banyak bergantung kepada kemahiran teknikal dan disiplin latihan,” katanya. 

Ghazali berkata susulan sokongan dan strategi pembangunan yang dirintis Allahyarham, Malaysia mula menuai hasilnya pada era 2000-an apabila atlet renang dan terjun mula menyerlah di temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Masa Sukan Komanwel 1998 kita belum raih podium tapi masuk 2002 dan seterusnya, hasil itu mula kelihatan. Bagi saya, Allahyarham adalah antara tulang belakang utama yang meletakkan asas kejayaan sukan akuatik hari ini,” katanya. 

Terdahulu, anak Allahyarham, Saiful Ezane memaklumkan kepada Bernama bahawa Mazlan dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak Jumaat lepas akibat serangan angin ahmar dan jangkitan pneumonia sebelum menghembuskan nafas terakhir sekitar 4.20 petang semalam. 

Beliau menyifatkan bapanya sebagai seorang yang berdisiplin, baik di pejabat mahupun di rumah namun tetap penyayang terhadap keluarga. 

Mazlan telah menerajui MSN dari 1993 hingga 2005 dikenang sebagai arkitek utama di sebalik kejayaan Program Jaya ‘98 dan Gemilang 2001 iaitu dua inisiatif yang melonjakkan pencapaian kontinjen negara di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2001.

Sepanjang 12 tahun perkhidmatannya, Mazlan memperkenalkan pelbagai dasar pembangunan sukan jangka panjang, termasuk pengukuhan program pelapis kebangsaan dan penstrukturan semula ISN bagi memperkasa sokongan sains sukan kepada atlet elit.

Mazlan pernah memegang jawatan penting dalam beberapa badan sukan kebangsaan seperti Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2001.

Allahyarham juga adalah penerima Anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan pada 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan