AM > BERITA

PRK Ayer Kuning: Elak Tindakan Provokatif - Polis

14/04/2025 05:41 PM

IPOH, 14 April (Bernama) -- Polis mengingatkan parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning agar berkempen secara berhemah dan mengelakkan sebarang tindakan provokatif.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata pihaknya akan sentiasa memantau perjalanan kempen PRK itu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

“Kita tahu semua pihak mahu menang, jadi bersikaplah ‘gentleman’ dan profesional. Kita tidak mahu percikan api kecil menjadi besar…hentikan tingkah laku sebegitu, itu tanggungjawab parti-parti politik sepanjang tempoh berkempen,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sabtu lepas, sekumpulan penyokong parti yang hadir bagi proses penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka, Tapah dilapor membawa sepanduk yang menampilkan kata-kata serta karikatur seolah-olah menyindir pemimpin kerajaan.

Bagaimanapun, Noor Hisam memaklumkan bahawa pihak polis belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menasihatkan parti-parti politik agar memohon permit ceramah lebih awal bagi mengelakkan pertindihan lokasi dan waktu.

“Kita tidak mahu ceramah diadakan terlalu hampir antara satu sama lain. Seboleh-bolehnya, kita akan ambil kira faktor jarak dan masa bagi mengelakkan sebarang pertembungan,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung.

Pilihan raya itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

Terdahulu, Noor Hisam menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Sungai Siput antara Supt A.W Charan dengan pemangkunya DSP Mohd Rohai Zimi Razali serta Ketua Polis Daerah Tapah Supt Johari Yahya dengan pemangkunya DSP Mohd Fadzil Ismail.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan