AM > BERITA

Program DMP AKPK Perkukuh Kewangan, Lebih 100,000 Kes Lulus Dalam Tempoh Dua Tahun

14/04/2025 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Program Pengurusan Kredit (DMP) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah mengukuhkan ketahanan kewangan rakyat Malaysia, dengan meluluskan lebih daripada 112,000 permohonan kes dan mencatatkan bayaran balik hutang berjumlah kira-kira RM3.2 bilion antara tahun 2023 hingga 2024.

Laporan Dwitahunan Khas AKPK 2023-2024 mendedahkan bahawa 52,057 kes yang diluluskan pada tahun 2023 melibatkan kes isi rumah, peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding 34,670 kes pada tahun sebelumnya.

Menurut laporan itu momentum tersebut diteruskan pada tahun 2024, dengan 60,155 kes individu dan 1,697 kes Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerima kelulusan di bawah program tersebut.

“Angka-angka ini bukan sekadar mencerminkan permintaan yang semakin meningkat, ia melambangkan kepercayaan yang semakin kukuh terhadap pendekatan kami yang tersusun, adil dan berperikemanusiaan dalam menyelesaikan isu hutang,” menurut laporan itu.

Laporan tersebut dibentangkan sempena majlis Raya Harmoni, Kebersamaan Dirai yang turut meraikan ulang tahun ke-19 AKPK serta pelancaran Laporan Dwitahunan 2024-2025, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir.

Menurut laporan itu pencapaian kewangan turut memberangsangkan, dengan bayaran balik di bawah DMP meningkat kepada RM1.49 bilion pada 2023, berbanding RM1.31 bilion pada tahun 2022.

“Pada tahun lepas, angka tersebut meningkat lagi kepada RM1.73 bilion, menunjukkan pertumbuhan 15.88 peratus dari tahun ke tahun.

“Bayaran balik ini bukan sekadar angka, ia mencerminkan keyakinan diri yang diperbaharui, disiplin dan kekuatan kerjasama antara peminjam, AKPK dan institusi kewangan,” menurut laporan itu.

Laporan itu menyatakan bahawa di sebalik angka, program itu telah terbukti membawa perubahan besar dari segi kemanusiaan.

Laporan itu menyatakan sebelum menyertai DMP, ramai peserta mempunyai Nisbah Khidmat Hutang (DSR) melebihi 80 peratus, menyebabkan mereka hampir tiada pendapatan boleh guna.

Namun demikian, menurut laporan itu menerusi melalui pelan yang disesuaikan dalam DMP, peserta berjaya mengurangkan DSR mereka kepada purata 40 peratus, sekali gus mengembalikan keupayaan untuk memenuhi keperluan asas seperti perumahan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

“Kesukaran kewangan sering terasa seperti pengasingan. DMP mengubah pengasingan itu kepada tindakan, mewujudkan laluan yang tersusun ke arah pemulihan dan maruah.

“Semakin ramai rakyat Malaysia mendapatkan sokongan daripada DMP, komitmen AKPK dalam memperkasakan pemulihan kewangan berdiri sebagai sinar harapan, membuktikan bahawa dengan struktur dan sokongan yang betul, cabaran kewangan yang paling mencabar sekalipun boleh berubah menjadi kestabilan, maruah dan rasa kawalan diri yang diperbaharui,” menurut laporan itu.

AKPK ialah sebuah agensi di bawah Bank Negara Malaysia yang ditubuhkan pada April 2006 untuk membantu individu menguruskan kewangan mereka dan memperoleh ketenangan melalui penggunaan kredit yang bijak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan