MELAKA, 9 April (Bernama) -- Menyambut kelahiran anak memerlukan perbelanjaan yang besar, lebih-lebih lagi jika ia adalah anak sulung.
Nur Amera Fatiha Hamsan, 26, yang dijangka bergelar ibu pada Ogos ini, mengakui sedang menyediakan kelengkapan bayi secara perlahan-lahan agar tidak terbeban, memandangkan mereka perlu membeli barangan baharu sepenuhnya.
Namun, suri rumah dari Taman Tasik Utama, Ayer Keroh itu merasa lega apabila menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang banyak membantu meringankan kewangan beliau dan suaminya, Irfan Faiz Azhar, 28, dalam menyambut kelahiran anak pertama mereka.
“Saya berkahwin pada Oktober lepas dan Alhamdulillah, ada rezeki menimang cahaya mata selepas beberapa bulan. Cuma, agak mencabar juga untuk menyediakan barangan bayi kerana suami saya bekerja sebagai penjawat awam rendah.
“Syukur, bantuan STR digunakan dengan sebaiknya untuk membeli barangan bayi seperti pakaian, lampin kain dan tilam,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Untuk lebih berjimat dan memaksimumkan nilai bantuan itu, Nur Amera Fatiha memilih untuk membeli semasa promosi jualan murah sama ada di platform e-dagang atau secara fizikal di pusat membeli-belah.
Sementara itu, Irfan Faiz, 28, berkata selain STR, mereka juga menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disalurkan secara automatik ke MyKad, yang membantunya membeli keperluan dapur tanpa perlu mengeluarkan wang tunai dalam jumlah besar.
“Walaupun masih berdua, bantuan ini sangat meringankan beban kewangan bulanan kami, terutamanya kami baharu memulakan kehidupan berumah tangga dan akan menyambut anak tidak lama lagi,” katanya.
Kerajaan menyalurkan pembayaran STR Fasa Dua bermula 24 Mac, dengan peruntukan RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun lepas, melibatkan hampir sembilan juta penerima terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa Malaysia mendapat bantuan sehingga RM650.
SARA pula merupakan usaha Kerajaan MADANI bagi meringankan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah menerusi bantuan dikreditkan ke MyKad penerima.
Bermula 1 April, program SARA diperluas kepada 5.4 juta penerima, meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada dan dengan kadar bantuan bulanan dinaikkan sehingga RM200 mengikut kategori berbanding RM100 sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial