AM > BERITA

Kebakaran Paip Gas: 396 KIR Layak Terima Bantuan Kewangan - Amirudin

11/04/2025 06:37 PM

PETALING JAYA, 11 April (Bernama) -- Sebanyak 396 daripada 613 ketua isi rumah (KIR) yang terbabit dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya layak menerima bantuan kewangan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu diperoleh setelah proses semak silang dilakukan oleh pelbagai pihak.

“Yang daftar sebanyak 613 KIR. Yang kita telah sahkan dan bila buat semak silang sekali gus keseluruhan mendapati yang layak untuk menerima sumbangan ini adalah 396 KIR.

“Apa kategorinya? Pertama, penerima ini ialah pemilik kediaman dan kedua ialah penyewa kediaman. Jadi kalau ada yang terlepas dan sebagainya boleh rujuk ke Pejabat Tanah (Pejabat Tanah dan Daerah Petaling),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan bantuan kepada 265 murid dan pelajar sekolah yang terlibat dengan insiden berkenaan di Pusat Pemindahan Sementara Masjid Putra Heights di Subang Jaya hari ini. 

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan Selangor dijangka mula menawarkan rumah di bawah program seliaannya dengan sifar deposit kepada mangsa yang kurang berkemampuan pada Selasa depan.

“Kita ada rumah di Sepang dan beberapa tempat yang lain. Saya juga dapat beberapa tawaran daripada pemaju seperti di Bukit Raja dan kita tengah tunggu lagi.

“Siapa yang tak berkemampuan (untuk bayaran deposit) boleh dapatkan bantuan ini sebab itu kita akan bagi bantuan dalam usaha menyelesaikan masalah bayaran deposit,” katanya sambil menambah setakat ini sebanyak 100 unit rumah sewa berjaya dikenal pasti untuk disewakan kepada mangsa.

Beliau berkata setakat pagi tadi, sebanyak 87 keluarga telah mendaftar dengan pilihan rumah yang telah ditawarkan kepada kerajaan negeri untuk diberikan kepada mangsa, seperti rumah sewa dan rumah inap Airbnb.

Amirudin berkata sebanyak 1,402 individu termasuk sukarelawan juga akan terlibat dalam pembersihan mega yang dikelola Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di kawasan kejadian selama dua hari bermula esok.

Pembersihan, katanya akan menumpukan di sekitar kawasan Putra Harmoni dan Putra Heights yang telah diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa dan percaya dapat menyelesaikan hingga 90 peratus kerja-kerja mengeluarkan sisa kebakaran dalam tempoh dua hari terbabit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan