BUTTERWORTH, 12 April (Bernama) -- Kehadiran pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang menjadi medan penyatuan, sekali gus mencerminkan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.
Seorang pengunjung L. Delvind Raj, 19, mengakui gembira apabila melihat kaum Melayu, Cina dan India duduk semeja untuk menikmati pelbagai juadah hari raya pada sambutan di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth di sini hari ini.
Beliau berkata meskipun Aidilfitri disambut oleh umat Islam, ia turut diraikan kaum lain dan suasana muhibah itulah yang menterjemahkan semangat sebenar Malaysia MADANI.
“Ini adalah Malaysia MADANI yang sebenar. Kita boleh melihat semua kaum bersama-sama dan menikmati pelbagai jenis makanan,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis berkenaan.
Pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang yang berasal dari Mak Mandin dan hadir bersama nenek serta dua kakaknya itu berkata beliau memang merancang untuk menghadiri majlis berkenaan selepas mengetahui mengenai penganjurannya minggu lepas.
Sementara itu, seorang pekerja swasta Teoh Ruey Jiun, 36, pula terharu melihat kehadiran begitu ramai rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama dalam satu majlis.
Beliau berkata ia juga jelas menggambarkan hubungan baik antara kaum dan tiada masalah meskipun pelbagai isu dibangkitkan sejak kebelakangan ini, yang menyentuh tentang sensitiviti agama bertujuan menggugat keharmonian.
“Saya kawan dengan semua orang Melayu, Cina serta India, dan saya mempunyai hubungan baik dengan mereka. Kita satu Malaysia macam dalam majlis ini, kita dapat lihat semua kaum bersama-sama meraikan Aidilfitri.
“Memang seronok dapat berada dalam majlis ini dan saya juga boleh menikmati pelbagai makanan seperti nasi kandar dan kuih-muih yang kesemuanya sedap belaka,” katanya yang datang bersama adik lelakinya dari Bagan Lalang.
Senada dengan pendapat itu adalah V. Mathi, 25, yang memberitahu majlis seperti itu bukan sahaja dapat mengumpulkan semua bangsa dan agama daripada pelbagai latar belakang, ia juga memberi peluang menikmati makanan yang jarang didapati jika bukan musim perayaan.
“Di sini, ada banyak pilihan makanan. Saya boleh merasa juadah hari raya sebab kalau di luar susah nak dapat,” katanya.
Peniaga Harun Ishak, 62, pula memberitahu beliau datang bersama ibu dan adiknya kerana mahu merasai suasana meriah sambutan rumah terbuka yang dihadiri pelbagai kaum.
“Macam di meja saya, semua kaum termasuk Cina dan India duduk dan makan bersama. Kita tiada masalah, malah boleh saling mengenali, sekali gus meraikan perbezaan,” katanya.
Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menerima kehadiran 10,000 pengunjung dan Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth adalah destinasi keempat majlis sambutan berkenaan selepas Melaka, Pahang dan Kelantan.
Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Menteri Sumber Manusia Stevan Sim Chee Keong, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Bertemakan ‘Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara’, majlis sambutan anjuran bersama tuan rumah Kerajaan Pulau Pinang dan Kementerian Sumber Manusia selaku kementerian peneraju itu bermula pada 2.30 petang hingga 5 petang.
Pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah termasuk kambing dan rusa golek, laksa Penang, mi kari, nasi himpit dan kuah kacang, lemang, ketupat, sate, roti jala, mi sotong, cendol, pasembor, apam balik serta beberapa hidangan istimewa yang menjadi tarikan rakyat Pulau Pinang.
Selain itu, majlis berkenaan juga diserikan dengan persembahan artis jemputan antaranya legenda muzik rock Malaysia Datuk Hattan, penyanyi popular era 1990-an Aris Ariwatan dan penyanyi Black Hanifah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial