SUKAN > BERITA

MASA DEPAN REZAL ZAMBERY BERSAMA KDN FC AKAN DIKETAHUI HUJUNG BULAN INI

14/04/2025 02:12 PM

KOTA BHARU, 14 April (Bernama) -- Keputusan sama ada Rezal Zambery Yahya kekal bersama Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) atau menerima tawaran daripada pasukan lain yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan akan diketahui penghujung bulan ini.

Penolong ketua jurulatih KDN FC itu berkata keputusan berkenaan akan dimaklumkan selepas kontraknya tamat kerana ketika ini beliau perlu menyelesaikan amanah yang diberikan sebelum memikirkan hala tuju seterusnya.

“Alhamdulillah saya terpilih untuk mengikuti kursus lesen kejurulatihan profesional yang akan datang. Jadi, saya akan beri tumpuan kepada kursus itu sebaik sahaja Liga Super musim ini menutup tirainya.

“Banyak benda yang saya belajar sepanjang terlibat dalam bidang kejurulatihan bola sepak dan banyak yang boleh diperbaiki. Memang dari segi persembahan… menang, kalah atau kesalahan akan terletak pada bahu jurulatih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas aksi perlawanan Liga Super antara KDN FC menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Muhammad IV di sini semalam, yang berkesudahan tuan rumah tewas 1-2.

Rezal Zambery yang juga bekas pemain kebangsaan kelahiran Johor memulakan karier di Kelantan sebagai penolong jurulatih hampir lima musim bersama Kelantan Red Warriors (TRW) dari 2021 hingga 2023, sebelum menyertai KDN FC sehingga kini.

Beliau turut mengakui pasaran jurulatih dan pemain tempatan semakin mengecil susulan musim hadapan tiada lagi pasukan bawah 23 tahun, selain rata-rata pasukan utama lebih berminat untuk mendapatkan khidmat jurulatih dan pemain import.

“Sudah tentu persaingan cukup sengit tetapi jurulatih tempatan juga perlu diberikan peluang kerana kami sudah melalui perjalanan liga yang panjang.

“Kita faham setiap pasukan memerlukan jurulatih yang mempunyai reputasi baik terutama boleh mendapatkan keputusan cemerlang untuk pasukan dan perkara itu selalunya akan diambil kira,” katanya.

Rezal Zambery berkata beliau berharap masih ada ruang dan peluang untuk jurulatih tempatan diberikan kepercayaan membimbing pasukan musim depan atau musim seterusnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan