Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah pada Selasa seiring penurunan negara serantau berikutan sentimen global yang dipengaruhi kebimbangan mengenai keputusan kadar tarif Amerika Syarikat (AS) dan perang dagangan yang semakin meningkat, kata seorang peniaga.
Bagaimanapun, katanya, penurunan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS dan harga minyak mentah penanda aras yang stabil sementara kebimbangan mengenai kekurangan bekalan getah asli terus menyokong pasaran.
"Sentimen pasaran juga dipacu oleh harapan yang semakin meningkat terhadap langkah rangsangan dari China," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, peniaga tersebut melaporkan niaga hadapan getah Jepun pulih dari paras terendah lebih dari setahun pada Selasa, disokong oleh kebimbangan bekalan akibat cuaca hujan di Thailand yang merupakan pengeluar utama sementara pasaran pengguna utama, China dikatakan mula pulih dan meningkatkan sentimen.
Menurutnya, agensi meteorologi Thailand memberi amaran berhubung potensi kerosakan tanaman dari 12 hingga 13 April 2025 dengan kemungkinan berlakunya ribut musim panas.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 turun sebanyak 22.5 sen kepada 771 sen sekilogram manakala lateks pukal menyusut sebanyak satu sen kepada 662.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial