POLITIK > BERITA

RUNDINGAN TAMBAHAN KERUSI PERLU LIBAT SEMUA PARTI KOMPONEN - AHMAD ZAHID

13/04/2025 11:55 PM

PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Rundingan bagi meminda kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dilakukan dengan semua parti komponen dalam kerajaan MADANI, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata perkara berkenaan juga perlu diteliti di peringkat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita belum meneliti (rundingan pinda kuota) kerana penelitian ini harus dilakukan dengan parti-parti komponen di dalam Kerajaan MADANI. Kita juga harus duduk dengan SPR mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Lebaran Kasih Aidilfitri anjurannya di sini hari ini. 

Beliau berkata kesemua pemimpin termasuk daripada pembangkang akan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut apabila tiba masa yang sesuai.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata rundingan bagi meminda kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dibuat secara bersemuka khususnya dengan Ahli Parlimen di Semenanjung.

Kali terakhir berlaku persempadanan semula kawasan Parlimen adalah pada 2006 dengan Sabah dan Sarawak kini masing-masing mempunyai 25 dan 31 Ahli Dewan Rakyat iaitu 56 kerusi atau kira-kira 25 peratus daripada 222 kerusi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata BN sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan parti lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. 

Beliau berkata BN telah mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti lain di Sabah mengenai kerjasama itu.

"Sebaik-baiknya semua pemimpin parti apabila dapat mencapai keserasian daripada mana juga parti gabungan, maka pengumuman akan dilakukan secara rasmi. Tetapi setakat ini rundingan tetap diteruskan dengan ramai pihak," katanya.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin terdahulu mengumumkan bahawa parti itu akan bergabung dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan