POLITIK > BERITA

KERJASAMA PH-BN HADAPI PRN SABAH AKAN DIMUKTAMADKAN - LOKE

14/04/2025 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Sebarang bentuk kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada tahun ini akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata perkara berkenaan akan diputuskan dalam mesyuarat rasmi melibatkan parti-parti di dalam gabungan itu nanti.

“Perkara itu (kerjasama) tidak jadi masalah, bagaimanapun ketika ini belum ada sebarang keputusan rasmi mengenainya termasuk berkaitan bentuk kerjasama yang akan dilakukan, kita akan bincang dalam mesyuarat rasmi itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Bantuan Bencana DAP Malaysia kepada mangsa kebakaran saluran gas Putra Heights, Subang Jaya di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights, dekat sini hari ini. Turut hadir Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan bagaimanapun tidak memberi perincian bilakah mesyuarat itu akan diadakan.

Semalam, media melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan parti itu akan bergabung dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah yang dijadual pada tahun ini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata keputusan berkenaan dimuktamadkan bagi menjawab persoalan pelbagai pihak mengenai siapakah rakan kerjasama UMNO bagi menghadapi PRN itu.

Ditanya mengenai perkembangan mengenai Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui yang ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub minggu lepas, Loke berkata perkara itu akan diuruskan oleh peguam parti.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan media mengenai tindakan Perikatan Nasional (PN) menggunakan sepanduk karikatur pemimpin PH termasuk dirinya pada perarakan penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Sabtu, Loke berkata beliau tidak mempunyai masalah mengenai perkara itu.

Sementara itu, pada majlis hari ini, DAP Malaysia mengagihkan RM965,000 hasil kutipan Tabung Bantuan Bencana parti itu kepada 396 penerima.

“Bantuan kita melibatkan RM5,000 kepada 57 pemilik kediaman yang musnah sepenuhnya dan RM2,000 kepada pemilik kediaman yang rosak sebahagian,” katanya. 

Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April lepas telah menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan