KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Pemimpin Melayu dalam DAP bersedia turun padang membantu calon Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan MADANI dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan berkata ini selaras dengan kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming bahawa parti itu akan turut menghantar jentera DAP, termasuk pemimpin dalam kalangan Melayu bagi memberi sokongan kepada bakal calon.
“Bergantung kepada keperluan kempen. Saya dan Young Syefura Othman (antara pemimpin Melayu dalam DAP) bersedia untuk turun membantu jentera BN dan Kerajaan MADANI di PRK itu,” katanya pada sidang media mengenai peranan dan aspirasi pemimpin Melayu dalam DAP pascapemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di sini hari ini.
Turut hadir Young Syefura yang dipilih sebagai Penolong Setiausaha Publisiti DAP pada pemilihan CEC, 16 Mac lepas.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh bagi penamaan calon PRK berkenaan pada 12 April manakala undi awal 22 April dan hari pengundian pada 26 April, membabitkan 31,897 pengundi berdaftar.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah akibat serangan jantung ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lepas.
Sementara itu, mengenai pascapemilihan CEC DAP, Syahredzan berkata pemimpin Melayu dalam parti itu akan terus berusaha untuk mendekati masyarakat Melayu serta menguatkan sokongan masyarakat daripada pelbagai etnik dan agama.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai anak muda, termasuk anak muda Melayu serta golongan wanita menunjukkan minat terhadap DAP dan ada yang telah menyertai sebagai ahli parti.
“Usaha untuk menggalakkan penyertaan baharu, termasuk dalam kalangan orang Melayu akan terus diperkasakan selagi mana mereka mendukung prinsip dan perjuangan parti,” katanya.
Ahli Parlimen Bangi itu berkata setakat ini, penyertaan keahlian orang Melayu dalam DAP adalah kira-kira 10 peratus secara keseluruhannya.
Bagaimanapun, beliau berkata meningkatkan bilangan keahlian parti dalam kalangan bangsa berkenaan bukan keutamaan mereka tetapi lebih memfokuskan untuk menarik sokongan serta mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap DAP.
Young Syefura pula berkata sebagai antara pemimpin Melayu yang dipilih dalam CEC DAP ia peluang besar kepada mereka untuk membuktikan gerak kerja serta mendukung aspirasi parti dalam pembuatan dasar yang progresif dan membela kebajikan rakyat.
“Antara aspirasi berkenaan adalah untuk kita memastikan bagaimana 30 peratus calon wanita bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 kelak … kami (sayap muda dan wanita DAP) sedang ke arah itu,” kata Ahli Parlimen Bentong itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial