POLITIK > BERITA

MOHAMAD YUSRI DIPILIH SELEPAS TELITI LAPORAN PELBAGAI PIHAK - AHMAD ZAHID

07/04/2025 08:51 PM

TAPAH, 7 April (Bernama) -- Pemilihan Dr Mohamad Yusri Bakir yang memiliki latar belakang agama dan berkelulusan tinggi sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dilakukan selepas meneliti laporan daripada pelbagai pihak.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata pihaknya telah melakukan penelitian terhadap latar belakang enam individu yang disenarai pendek sebelum memutuskan Dr Mohamad sebagai calon BN.

“Alhamdulillah Dr Yusri telah terpilih dan insya-Allah pada kali ini seorang yang berlatarbelakangkan agama dan mempunyai kelulusan yang baik. Ditambah pula saya dimaklumkan bahawa isteri beliau adalah berketurunan Cina.

“Jadi mudah-mudahan ia akan menjadi kelebihan kepada beliau dan saya menyebutkan dalam ucapan saya bahawa jentera BN dan PH (Pakatan Harapan) akan berganding bahu untuk menggerakkan jentera masing-masing bagi memenangkan Dr Yusri dalam pilihan raya 26 April ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran jentera BN di bilik gerakan parti itu di Kampung Haji Tahir, Temoh dekat sini.

Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning itu dalam majlis sama hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kira-kira 46 peratus pengundi di Ayer Kuning merupakan pengundi muda dan terdapat dalam kalangan mereka pengundi kali pertama.

“Kita telah meminta supaya Wanita, Pemuda dan Puteri (UMNO) berganding bahu untuk menarik sokongan mereka, khususnya Pemuda dan Puteri, mereka mempunyai program yang tersendiri bagi menarik kumpulan berkenaan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan kemenangan besar di PRK DUN Nenggiri dan DUN Mahkota sebelum ini dapat dijadikan contoh untuk kemenangan di DUN Ayer Kuning nanti. 

DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar terdiri daripada 31,315 pemilih biasa dan 582 anggota polis dan pasangan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan