Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka diniaga secara mendatar pada minggu akan datang dengan harga berkemunginan menjejaki niaga hadapan getah serantau dan penanda aras harga minyak mentah, dalam persekitaran ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berterusan, kata Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).
Persatuan itu berkata minggu ini dipenuhi dengan pelbagai peristiwa, dengan beberapa siri pengumuman berkaitan tarif yang telah menjejaskan pasaran getah serantau dan harga minyak mentah, ditambah dengan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.
Bagaimanapun, pasaran mungkin melihat momentum positif pada minggu akan datang yang disokong oleh lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.
“Bekalan getah asli kekal terhad di negara pengeluar utama berikutan keadaan cuaca dan kerosakan tanaman di Thailand.
“Walaupun harga getah mungkin meningkat semula disebabkan faktor-faktor ini, kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemelesetan ekonomi global masih wujud,” kata persatuan itu kepada Bernama.
Sementara itu, seorang peniaga berkata pasaran getah dijangka terus menjejaki prestasi niaga hadapan getah serantau, kekuatan ringgit berbanding dolar AS, harga minyak mentah penanda aras dan perkembangan tarif AS, di tengah-tengah bekalan getah asli yang terhad di negara pengeluar utama.
"Pemain pasaran juga memantau penanda aras ekonomi AS, terutamanya yang memberikan isyarat mengenai dasar monetari AS serta rangsangan ekonomi China di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kelembapan ekonomi global," katanya kepada Bernama.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) menurun sebanyak 74 sen kepada 762.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut sebanyak 11 sen kepada 657 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial