Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal kukuh minggu depan, disokong oleh jangkaan pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kestabilan pasaran bon AS.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata walaupun dolar AS yang lemah terus menyokong harga emas, pemacu utama pada masa ini adalah daya tarikan yang semakin berkurangan terhadap Perbendaharaan AS sebagai aset pelaburan yang selamat.
“Perbendaharaan AS secara tradisinya dilihat sebagai instrumen pelaburan yang selamat, tetapi kini tidak lagi menawarkan kestabilan seperti yang diharapkan hingga mendorong pelabur beralih kepada emas,” katanya kepada Bernama.
Innes menambah tindakan China untuk menyamakan kenaikan tarif sebanyak 100 peratus terhadap barangan AS menyerlahkan risiko konflik perdagangan yang berpanjangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
Walaupun pasaran mula mengurangkan kesan ekonomi secara langsung, ketidaktentuan yang berterusan dijangka mengekalkan permintaan terhadap emas.
Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta April meningkat kepada US$3,224.00 setiap auns troy daripada US$3,105.20 setiap auns troy minggu lepas, manakala Mei 2025 naik kepada US$3,234.40 setiap auns troy daripada US$3,126.80 setiap auns troy.
Kontrak Jun, Julai dan Ogos 2025 masing-masing meningkat kepada US$3,246.80 setiap auns troy daripada US$3,126.80 setiap auns troy minggu lepas.
Jumlah dagangan melonjak kepada 2,738 lot daripada 340 lot sebelumnya, manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 1,232 kontrak daripada 141 kontrak.
Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 10 April, 2025, harga emas fizikal berada pada US$3,143.15 setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial