Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi untuk hari ketiga berturut-turut hari ini menjejaki kenaikan COMEX, apabila ketegangan perdagangan AS-China yang semakin meruncing terus memacu permintaan aset selamat.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kenaikan tarif timbal balik AS terhadap China berpotensi menyebabkan kebuntuan perdagangan yang berpanjangan, membuatkan pelabur mengekalkan minat terhadap emas.
"Spekulasi bahawa China mungkin mengurangkan pegangan bon Perbendaharaan AS berpotensi meningkatkan lagi emas sebagai aset kepelbagaian. Selain itu, jangkaan kadar faedah AS dikurangkan juga dilihat sebagai faktor sokongan untuk jongkong emas dalam masa terdekat," katanya kepada Bernama.
Menurut laporan, China hari ini menaikkan dutinya ke atas import barangan AS kepada 125 peratus daripada 84 peratus. Sementara itu, pada 10 April Rumah Putih menjelaskan kadar tarif ke atas import China ditingkatkan kepada 145 peratus daripada 125 peratus yang dinyatakan sebelum ini.
Pada penutup dagangan hari ini, kontrak bulan semerta April 2025 meningkat kepada US$3,224.0 setiap auns troy daripada US$3,119.40 setiap auns troy semalam, manakala Mei 2025 naik kepada US$3,234.40 setiap auns troy berbanding US$3,129.80 setiap auns troy sebelum ini.
Jun 2025, Julai 2025 dan Ogos 2025 semuanya meningkat kepada US$3,246.80 setiap auns troy daripada US$3,142.20 setiap auns troy sebelumnya.
Jumlah dagangan melonjak kepada 1,193 lot daripada 653 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 1,232 kontrak daripada 697 kontrak.
Berdasar penetapan London Bullion Market Association pada 10 April, emas fizikal berharga US$3,143.15 setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial