PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP KUKUH BERBANDING DOLAR AS DISEBABKAN PERANG DAGANGAN

11/04/2025 07:42 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Ringgit mengakhiri minggu dagangan dengan ditutup tinggi berbanding dolar AS, disokong oleh sentimen lemah terhadap dolar AS di tengah-tengah ketegangan perdagangan AS-China yang semakin meningkat.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.4200/4265 berbanding dolar AS daripada 4.4670/4730 pada Khamis. Setakat April tahun ini, ringgit telah mengukuh sebanyak 1.09 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengukuhan ringgit sejajar dengan penurunan dalam Indeks Dolar AS (DXY) yang susut kepada 99.758 mata.

Beliau berkata kebimbangan yang semakin meningkat terhadap perang perdagangan AS-China terus menekan nilai dolar AS.

“Tarif yang lebih tinggi boleh mendorong kenaikan harga dan inflasi meningkat, berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi sekiranya pengguna mula mengurangkan perbelanjaan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding yen Jepun kepada 3.0952/1000 daripada 3.0594/0639, turun berbanding euro kepada 5.0207/0281 daripada 4.9401/9467 dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.7849/7934 daripada 5.7566/7644.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ia menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 263.1/263.6 daripada 265.5/265.9 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.75/7.77 daripada 7.79/7.81.

Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 13.1599/1902 daripada 13.0618/0866 dan melemah berbanding dolar Singapura pada 3.3495/3549 daripada 3.3361/3411 ketika ditutup semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan