AM > BERITA

Negeri Sembilan Akan Laksana Kajian Keselamatan Saluran Paip Gas

08/04/2025 06:01 PM

SEREMBAN, 8 April ( Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan akan mengadakan pertemuan dengan Gas Malaysia dan Petronas bagi memulakan kajian keselamatan mengenai kedudukan saluran paip gas yang terdapat di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perbincangan awal dengan Jabatan Kerja Raya semalam, terdapat dua saluran paip utama di negeri ini di bawah kendalian dua syarikat berkenaan.

“Setakat hari ini belum ada kata putus lagi sebab masing-masing (Petronas dan Gas Malaysia) sedang menumpukan apa yang berlaku di Selangor, jadi (kajian keselamatan) di negeri ini akan kita maklumkan kemudian. 

“Kajian tersebut bukan hanya babitkan aspek keselamatan paip gas sahaja tetapi turut mengambil kira laluan utiliti lain seperti paip saliran, kabel telekomunikasi serta saluran paip air yang akan diberikan perhatian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Pentadbiran Daerah Seremban di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menzahirkan rasa simpati dengan insiden kebakaran yang berlaku di Putra Height, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini dan berharap penyelesaian terbaik buat mangsa terlibat. 

Beliau berkata kerajaan negeri melalui agensinya serta badan bukan kerajaan (NGO) turut menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bagi meringankan beban. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan