TAPAH, 15 April (Bernama) -- Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS menjadi calon pertama bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning melancarkan manifesto, memfokuskan tiga perkara utama.
Ia meliputi pembangunan seimbang dan sekata, kemudahan asas yang mencukupi serta kecekapan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Bawani berkata menerusi tawaran pembangunan seimbang dan sekata, ia merangkumi aspek menaik taraf pekan sekitar Ayer Kuning, mewujudkan peluang pekerjaan dan pembinaan rumah mampu milik di bawah RM100,000.
"PSM juga menawarkan, antaranya menyelesaikan gangguan bekalan elektrik, meningkatkan kekerapan bas awam dan mewujudkan fasiliti awam seperti bank dan pejabat pos menerusi fokus kemudahan asas,” katanya ketika melancarkan manifesto di hadapan Stesen Bas Tapah di sini.
Selain itu, menerusi fokus kecekapan PBT, PSM menawarkan usaha menaik taraf sistem perparitan serta penyelenggaraan taman rekreasi dan ruang awam.
PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Feb, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, Abd Muhaimin dan calon PSM Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April manakala pengundian awal pada 22 April.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial