AM > BERITA

Johor Perketat Pemantauan Kerja Projek Berhampiran Laluan Paip Gas - Exco

12/04/2025 02:55 PM

KULAI, 12 April (Bernama) -- Kerajaan Johor mengambil langkah pencegahan dengan memperketat pemantauan terhadap sebarang kerja melibatkan projek pembangunan atau perumahan, khususnya yang berhampiran jajaran laluan paip gas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata terdapat dua kawasan laluan paip gas milik Petronas di negeri itu iaitu di Pasir Gudang dan Pengerang, melibatkan projek yang telah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta 10 agensi teknikal pada 2015.

Menurut beliau, jajaran tersebut diselenggara dengan baik dan pemantauan serta penguatkuasaan di kawasan terlibat sentiasa dijalankan oleh PBT bersama Petronas.

“Setakat ini, Alhamdulillah, tiada insiden berlaku kerana Petronas sentiasa mengemas kini status tapak secara berkala.

“Cuma, dari segi kelulusan teknikal, kebiasaannya tiada masalah untuk melaksanakan projek pembangunan atau perumahan, namun isu utamanya ialah siapa yang bertanggungjawab memantau kerja-kerja kontraktor di tapak?,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Rumah Terbuka Aidilfitri di sini, hari ini, ketika diminta mengulas langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden kebakaran saluran gas seperti yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya, baru-baru ini.

Mohd Jafni berkata keperluan melantik pegawai bertanggungjawab di tapak adalah penting, terutama bagi kawasan melibatkan laluan paip gas yang memerlukan tahap keselamatan tertinggi.

“Sudah tentu di peringkat PBT, kita akan lebih memperketatkan pemantauan terhadap kerja-kerja projek bagi memastikan setiap senarai semak (checklist) yang ditetapkan dipatuhi,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus mengambil langkah proaktif bagi mencegah sebarang kejadian tidak diingini.

“Sekiranya kerja-kerja di tapak mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan, Insya-Allah, saya yakin insiden seperti itu tidak akan berlaku di Johor. Langkah pencegahan akan terus diperkasakan agar kejadian seperti di Selangor dapat dielakkan,” katanya.

Untuk rekod, kebakaran saluran gas yang berlaku pada 1 April lepas di Putra Heights menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 lagi separa musnah, 57 terkesan tanpa kebakaran, manakala 218 rumah tidak terjejas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan