KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Syarikat pembetungan nasional Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menawarkan pengecualian 100 peratus bil pembetungan dan perkhidmatan pengosongan tangki septik secara percuma kepada penduduk terjejas dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
IWK dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan pengecualian itu diberikan kepada pengguna sistem bersambung yang tinggal di kawasan terjejas bagi tempoh bil yang dikeluarkan bermula April hingga Disember tahun ini.
“Bagi memastikan ketepatan pengebilan selepas tempoh bantuan berakhir, semua akaun pelanggan akan disemak semula pada Januari tahun depan. Akaun yang dikenal pasti sebagai mengalami kerosakan keseluruhan akan dinilai semula selepas premis disahkan selamat dan sesuai untuk diduduki.
“Sebagai langkah tambahan, siasatan tapak juga akan dilaksanakan semula bagi mengenal pasti premis yang sesuai untuk tujuan pengebilan, sekali gus menilai keperluan untuk melanjutkan atau menamatkan bantuan berdasarkan hasil semakan dan status pemulihan pada masa tersebut,” menurut kenyataan itu.
Mengenai perkhidmatan pengosongan tangki septik secara percuma, IWK memaklumkan ia ditawarkan kepada pengguna yang telah membuat penjadualan perkhidmatan tersebut bagi tempoh sama.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam dalam kenyataan sama berkata IWK komited membantu meringankan beban mangsa dan prihatin terhadap kesulitan dialami penduduk terjejas.
“Pada kesempatan ini, IWK ingin menzahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa yang terjejas dan mendoakan agar proses pemulihan berjalan lancar serta kesejahteraan komuniti di Putra Heights dapat dipulihkan seperti sediakala,” katanya.
Menurut Narendran, inisiatif tanggungjawab sosial korporat itu bertujuan meringankan sedikit beban penduduk setempat, selain memastikan sistem pembetungan di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru terus terpelihara.
Untuk maklumat lanjut mengenai insiatif bantuan berkenaan, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan IWK di talian 03-2083 2828 atau emel ke care@iwk.com.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial