AM > BERITA

Kebakaran Putra Heights: Penduduk Tidak Luntur Semangat, Nekad Teruskan Kehidupan

12/04/2025 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Meskipun kejadian kebakaran dan letupan di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April, meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada penduduk kerana kehilangan tempat tinggal dan harta benda, namun mereka tetap tabah serta berusaha memulakan semula kehidupan.

Seorang suri rumah Salbiyah Ariffin, 63, berkata dia dan suaminya nekad untuk membaiki kerosakan yang dialami, kerana menyifatkan kediaman mereka sebagai mahligai yang sangat berharga.

“Suami saya akan baiki juga kerana rumah ini ibarat mahligai kami berdua. Rumah kami terjejas di bahagian bumbung dan kawasan tanaman di bahagian hadapan. Hari ini sukarelawan datang bersihkan tanaman kering yang hangus dijilat api.

“Saya ada ambil insurans bencana untuk rumah ini. Jadi, ada pegawai insurans telah datang ke rumah untuk membuat sebut harga,” katanya kepada Bernama, yang turut mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang hadir membersihkan rumahnya dalam Ops Mega, hari ini.

Pemerhatian Bernama mendapati jentera pembersihan mula memasuki lokasi kejadian kebakaran saluran gas seawal 9 pagi hari ini, bagi melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas menerusi Ops Mega yang dijalankan sehingga esok melibatkan empat sektor iaitu Zon A, B, C dan D.

Salbiyah yang pada hari kejadian sedang berhari raya bersama anak dan cucunya berkata kejadian itu, merupakan pengalaman paling mengerikan buat mereka sekeluarga kerana terpaksa terjun ke dalam sungai sedalam lebih dua meter di belakang rumahnya, untuk menyelamatkan diri.

“Ligamen kaki saya koyak sebab terjun ke dalam sungai. Sekarang saya perlu gunakan kerusi roda sebab tak boleh berdiri lama. Doktor kata boleh berjalan semula cuma perlukan masa untuk sembuh.

“Ketika terjun itu, cucu saya tiga orang juga selamat. Saya memang takkan pernah lupa kejadian ini. Saya dan keluarga amat trauma daripada insiden ini,” katanya.

Bagi penduduk di Kampung Kuala Sungai Baru Ahmad Baharudin Hamid, 56, pula berkata beliau tetap positif serta nekad meneruskan kehidupan bersama keluarga, walaupun memberitahu hampir 50 peratus struktur rumahnya hancur dijilat api.

Beliau berkata kira-kira RM400,000 diperlukan untuk baik pulih berdasarkan kepada kos yang dibelanjakan semasa membuat ubah suai rumah sebelum ini.

“Hidup ini kita teruskan sahaja lah. Rumah ini kita buat dan baiki semula. Setakat ini kerosakan berlaku di ruang tamu dan bumbung rumah, namun dapur, beberapa bilik tidur dan bilik solat tidak terjejas sama sekali.

Ahmad Baharudin berkata mereka sekeluarga mengalami trauma yang amat teruk, lebih-lebih lagi apabila anak perempuannya masih terbayangkan api yang marak menjulang di depan matanya, seperti pada hari kejadian.

“Setakat ini, hanya saya dan anak lelaki balik untuk periksa rumah, manakala isteri dan anak perempuan saya tidak lihat rumah lagi sebab masih trauma terbayang api yang marak di depan mata,” katanya.

Anaknya Ahmad Robani, 29, berkata pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah datang untuk melihat keadaan rumah, sama ada selamat untuk didiami.

“Sekarang kami hanya menunggu pihak kerajaan untuk datang membuat anggaran kerugian. Jadi, buat masa ini kami sekeluarga tinggal di pusat pemindahan sementara di Masjid Putra Heights sehingga arahan seterusnya,” katanya yang merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat swasta.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari melepaskan lebih 4,000 petugas termasuk sukarelawan dan anggota daripada pelbagai agensi, untuk digerakkan dalam operasi mega pembersihan di kawasan terjejas akibat insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru.

Operasi mega selama dua hari yang bermula hari ini, melibatkan 600 sukarelawan dan individu lain termasuk anggota pelbagai agensi kerajaan dan institusi  lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan