AM

MOTAC BINCANG TAMBAH PENERBANGAN TERUS KE ARAB SAUDI - TIONG

07/05/2025 09:53 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang berbincang dengan Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air bagi meningkatkan jumlah penerbangan terus antara Malaysia dan Arab Saudi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata terdapat penurunan ketara dalam kumpulan pelancong korporat antara kedua-dua negara, terutamanya disebabkan oleh kekurangan pilihan penerbangan.

“Pada masa ini, hanya syarikat penerbangan Saudia yang mengendalikan penerbangan ke Malaysia manakala kapasiti Malaysia Airlines banyak diperuntukkan kepada jemaah haji dan umrah.

“Saya akan berbincang dengan ketiga-tiga syarikat penerbangan ini untuk menambah penerbangan terus bagi pasaran pelancongan. Saya juga menggalakkan ATTC (Syarikat Pelancongan dan Pengembaraan Al Ahram) untuk bekerjasama dengan syarikat penerbangan berkenaan sebagai ejen mereka,” katanya dalam hantaran Facebook selepas bertemu pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ATTC Adnan Omar Al-Abbas semasa lawatannya ke Arab Saudi.

Beliau berkata dalam pertemuan itu, Adnan menyatakan harapan untuk memperluas kerjasama perniagaan dengan Malaysia, termasuk mewujudkan lebih banyak penerbangan terus dari Arab Saudi ke Kuala Lumpur dan kemungkinan sambungan ke Singapura atau Australia.

Tiong berkata MOTAC terus menggalakkan pengusaha hospitaliti tempatan untuk bekerjasama dengan ejen di Arab Saudi bagi mempromosikan pelancongan perubatan.

“Saya gembira apabila ATTC turut berkongsi visi ini dan berhasrat untuk melakukan inisiatif selanjutnya berkaitan persidangan perubatan serta kerjasama dalam industri penjagaan kesihatan, sesuatu yang sangat kami alu-alukan,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia merupakan pilihan yang lebih mampu milik bagi ATTC yang menghantar pelajar Arab Saudi untuk mengikuti kursus bahasa Inggeris di luar negara.

Dengan lebih 20 pejabat di seluruh Arab Saudi, ATTC merupakan syarikat berskala besar yang menawarkan perkhidmatan seperti penempahan tiket, tempahan hotel, bantuan visa, pengurusan perjalanan korporat dan perancangan penganjuran acara.

Sementara itu, Tiong berkata satu persetujuan telah dicapai menerusi sidang telefon dengan Panda Supermarket, antara rangkaian peruncitan terbesar di Timur Tengah untuk mempromosikan pelancongan Malaysia di Arab Saudi.

“Ini juga sangat menggalakkan. Pada masa hadapan, saya menjangkakan pihak berkuasa Arab Saudi akan menghantar delegasi ke Malaysia bagi lawatan pengenalan yang akan membuka laluan untuk memperkukuh sokongan dan meningkatkan aliran pelancong dua hala,” katanya.

Terdahulu hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes mengumumkan rancangan pengembangan ke Arab Saudi dengan laluan baharu AirAsia ke Riyadh dan Dammam serta lebih banyak penerbangan Kuala Lumpur-Jeddah, menandakan langkah penting dalam strategi pertumbuhan syarikat di Timur Tengah.

Beliau berkata laluan baharu ke Riyadh itu diunjurkan menampung hampir satu juta penumpang bagi dua hala menjelang 2026 dan lebih tujuh juta menjelang 2030, mencerminkan permintaan kukuh bagi meningkatkan kesalinghubungan di rantau ASEAN-Teluk.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan