DUNIA

AS, UK CAPAI PERJANJIAN PERDAGANGAN "BERSEJARAH" - TRUMP

09/05/2025 12:52 AM

WASHINGTON, 8 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis mengumumkan bahawa AS dan United Kingdom (UK) telah mencapai perjanjian perdagangan yang digambarkan beliau sebagai satu “penemuan bersejarah”.

“Pagi ini saya sangat teruja untuk mengumumkan bahawa kami telah mencapai perjanjian perdagangan yang penting dengan United Kingdom,” kata Trump di Rumah Putih.

Beliau berkata perjanjian itu merupakan yang pertama dalam siri perjanjian perdagangan yang dirundingkan pentadbirannya sejak empat minggu lepas.

“Dengan perjanjian ini, UK bersama AS dalam mengesahkan bahawa prinsip timbal balik dan keadilan adalah teras penting dalam perdagangan antarabangsa,” katanya.

Trump memaklumkan bahawa UK akan mengurangkan pelbagai halangan bukan tarif yang sebelum ini dianggap mendiskriminasi produk AS.

Perdana Menteri UK Keir Starmer yang menyertai secara maya menyifatkan perjanjian itu sebagai “hari yang sangat hebat dan bersejarah”.

“Saya rasa ini adalah satu penghormatan terhadap sejarah kerjasama erat antara negara kita. ...Perjanjian yang sangat penting. Ini akan meningkatkan perdagangan dua hala, bukan sahaja melindungi pekerjaan tetapi turut mencipta peluang kerja serta membuka akses pasaran,” katanya.

Anadolu juga melaporkan, Trump mengesahkan bahawa keluli merupakan “faktor besar” dalam perjanjian itu, yang menurutnya akan mengukuhkan ekonomi kedua-dua negara.

Beliau turut mendedahkan bahawa bahan kimia dan jentera keluaran AS telah dimasukkan dalam perjanjian tersebut.

Walaupun beberapa butiran teknikal akhir masih dalam rundingan, Trump berkata perjanjian asas telah dimuktamadkan: “Perjanjian ini adalah satu kesepakatan yang konklusif.”

Beliau menggambarkan perjanjian itu sebagai lebih daripada sekadar pakatan perdagangan, dengan menyatakan bahawa ia akan membawa UK ke dalam “penjajaran keselamatan ekonomi bersama AS,” yang disifatkannya sebagai “jaminan keselamatan ekonomi yang besar.”

Ketika ini, kebanyakan barangan UK yang diimport ke AS dikenakan tarif sekitar 10 peratus, manakala kadar yang lebih tinggi dikenakan ke atas kereta, keluli dan aluminium.

Sebaliknya, UK turut mengenakan tarif ke atas pelbagai produk AS serta melaksanakan cukai perkhidmatan digital yang telah lama menjadi isu kepada syarikat teknologi Amerika.

Perjanjian baharu itu dijangka merangkumi pengurangan tarif secara timbal balik - khususnya dalam sektor automobil - dan berpotensi mengurangkan ketegangan berhubung cukai digital UK terhadap syarikat teknologi AS.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan