IPOH, 8 Mei (Bernama) -- Seorang wanita warga emas cedera selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabas lalu merempuh sebuah restoran makanan segera di Sitiawan, kira-kira 76 kilometer (km) dari sini, malam ini.,
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu, mangsa yang berusia lingkungan 70-an dilaporkan tersepit di bawah kenderaan berkenaan, sebelum diselamatkan orang awam yang berada di lokasi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
"Ketua Operasi melakukan penilaian awal (size-up) sebelum mengarahkan anggota membantu pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) memberi rawatan awal kepada mangsa.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Operasi terkawal sepenuhnya pada jam 9.30 malam dan tamat pada jam 9.49 malam.
Terdahulu, video insiden berkenaan tular di media sosial yang memaparkan sebuah MPV putih terbabas dan merempuh masuk ke dalam restoran terbabit.
– BERNAMA