PORT DICKSON, 6 Mei ( Bernama) -- Port Dickson mempunyai potensi dijadikan sebagai lokasi baharu pendaratan penyu bertelur di sepanjang pantai Lukut hingga Tanjung Tuan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pihaknya juga bercadang menggazet beberapa tempat di sepanjang pantai itu sebagai lokasi pendaratan penyu.
“Setakat ini, sebanyak lapan sarang dikenal pasti sebagai lokasi penyu bertelur. Pendaratan penyu di sini juga boleh dijadikan sebagai produk pelancongan baharu.
“Kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan negeri sedang berbincang mengenainya (gazet kawasan pendaratan penyu). Kita akan mencari kaedah sesuai, termasuk pemeliharaan dan keselamatan penyu itu sendiri semasa naik bersarang kerana kita tidak mahu haiwan ini diganggu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Pemulihan Biodiversiti Marin Port Dickson, Pantai Tanjung Biru yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Kassim Tawe.
Jalaluddin merangkap Exco Kanan kerajaan negeri itu berkata sebanyak 991 telur penyu dipungut dan dieram untuk tujuan konservasi, setakat bulan ini.
Beliau berkata terdapat dua spesies penyu yang mendarat dan bertelur iaitu Penyu Karah dan Penyu Agar, sekitar Mac hingga Oktober dan kemuncaknya pada Jun.
Selain itu beliau berkata Port Dickson juga terkenal sebagai lokasi aktiviti selam kerana terdapat pelbagai terumbu karang yang cantik dan spesies hidupan marin, termasuk ikan karang, tumbuhan akuatik (latok), penyu dan mamalia akuatik, terutamanya di Tanjung Tuan.
-- BERNAMA