AM

TOURISM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN INDUSTRI PELANCONGAN HADAPI TMM2026

04/05/2025 05:04 PM

ALOR SETAR, 4 Mei (Bernama) -- Tourism Malaysia terus memperkukuh kesiapsiagaan industri pelancongan negara menerusi penganjuran Sesi Libat Urus Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang berlangsung di Langkawi, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar berkata sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan itu bertujuan merancakkan pelaksanaan strategi promosi, pemantapan produk pelancongan serta pengukuhan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam menyokong matlamat TMM2026.

“Pemilihan tema ‘Malaysia: Destinasi Lestari dan Kaya Budaya’ mencerminkan aspirasi negara untuk menampilkan Malaysia sebagai destinasi eksklusif yang mengimbangi pembangunan pelancongan dengan pemeliharaan warisan alam dan budaya.

“Pulau Langkawi sememangnya destinasi pelancongan bertaraf dunia, terkenal dengan keindahan alam semula jadi, pantai yang mempesona serta kepelbagaian flora dan fauna. Selain diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark, pulau ini juga mengutamakan nilai kelestarian dalam pembangunan pelancongannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Junaidi Abdul Rani@Abdul Ghani.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Haslina Abdul Hamid, wakil agensi kerajaan, persatuan pelancongan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, pengendali produk pelancongan dan ejen pelancongan tempatan.

Sementara itu, Shahrin berkata komitmen berterusan kerajaan negeri Kedah dalam memperkukuh pelancongan hijau menjadikan Langkawi antara destinasi utama dalam menyemarakkan sambutan TMM2026.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pemuliharaan alam sekitar, penjenamaan semula produk pelancongan sedia ada serta galakan terhadap aktiviti berteraskan kelestarian bagi memperkayakan pengalaman pelancong.

“Dengan sokongan berterusan pelbagai pihak, Langkawi diyakini terus menjadi aset strategik dalam menjayakan TMM2026 dan melonjakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama yang lestari dan berdaya tahan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan