KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Tourism Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Emirates dalam usaha menarik lebih ramai pelancong global ke negara ini selain bertujuan meningkatkan pengiktirafan jenama Malaysia ke persada antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata beliau menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy dan Naib Presiden Kanan (SVP) Operasi Komersial (Timur) Emirates Orhan Abbas semasa Arabian Travel Market (ATM) di Dubai baru-baru ini.
“Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam inisiatif pemasaran dan promosi bersama untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan teratas, menonjolkan landskap semula jadi, warisan budaya serta masakan yang pelbagai.
“Emirates juga merancang untuk menganjurkan lawatan suai kenal ke Malaysia untuk rakan media dan pengembara profesional daripada pasaran utama,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Tiong berkata dengan memanfaatkan rangkaian global Emirates yang luas, kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan dapat diperkukuhkan lagi, sekali gus menggerakkan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), yang menawarkan pengalaman Malaysia Truly Asia.
Beliau turut menyifatkan langkah menandatangani MoU itu sebagai tepat pada masanya untuk menembusi pasaran Arab.
“Malaysia mengalu-alukan kedatangan kira-kira 38 juta pelancong tahun lepas. Tahun ini, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) menyasarkan 45 juta kedatangan pelancong.
“Data kemasukan pelancongan semasa menunjukkan kita berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat ini,” katanya.
Tiong berkata Malaysia juga berbesar hati menjemput masyarakat dunia untuk memulakan perjalanan yang unik dan mengalami gabungan kepelbagaian budaya serta keindahan alam semula jadi yang terdapat di negara ini.
-- BERNAMA