AM

PERINTAH PEMAPARAN HARGA UBATAN DISAMBUT BAIK PENGGUNA, BANTU RANCANG PERBELANJAAN UBATAN

01/05/2025 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Perintah pemaparan harga ubatan di klinik dan hospital swasta yang berkuat kuasa hari ini disambut baik oleh pengguna yang melihat langkah itu sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap hak serta kebajikan rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan secara telus.

Rata-rata pengguna melihat inisiatif tersebut memberi lebih kuasa kepada mereka untuk membuat keputusan pembelian berdasarkan maklumat harga yang jelas sejajar dengan prinsip hak pengguna.

Seorang penjawat awam di Kedah, Norsyaliza Rosli, 48, berkata langkah itu sangat baik kerana ia membolehkan rakyat membuat pilihan harga sebelum membeli ubat-ubatan yang diperlukan tanpa ragu-ragu atau rasa tertipu oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan demi mengaut keuntungan.

“Apabila kerajaan menguatkuasakan tindakan ini, mereka tidak lagi boleh memanipulasi dan main harga ubat ikut suka hati kerana mereka tahu tindakan berat boleh dikenakan. Sebagai pengguna, kami ada hak untuk memilih, jadi ini memang satu perkara yang patut disokong,” katanya kepada Bernama.

Pesara kerajaan dari Pendang, Mohd Yasin Zamri, 67, pula menyifatkan langkah itu dapat membantu golongan kurang berkemampuan sepertinya membuat perbandingan harga sebelum melakukan pembelian di farmasi.

“Kadang-kadang bila pergi beli ubat, hari ini harga lain, esok harga lain, macam mereka main harga pula. Itu tidak patut kerana semua orang ada hak untuk tahu harga sebenar ubat yang dibeli dan jika memang berlaku ketirisan, bolehlah kami lapor kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan,” katanya yang menghidap penyakit diabetes dan hipertensi.

Semalam, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam kenyataan bersama memaklumkan Inisiatif Penandaan Harga Ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti berkuat kuasa hari ini selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan agenda ketelusan harga melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).

Pelaksanaan inisiatif itu bagi memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga terbaik dalam merancang perbelanjaan ubatan.

Turut senada, penjawat awam di Sarawak iaitu Asrina Kartini Sulaiman, 47, melihat pelaksanaan MKHU sebagai satu bentuk pemerkasaan terhadap hak pengguna untuk membuat pilihan khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

“Contohnya, kalau pembeli itu berpendapatan rendah, mesti mereka ada bajet mereka sendiri untuk pilih mana satu yang mereka mampu tanpa rasa terpaksa untuk berbelanja. Ubat pun makin mahal, jadi bila dah pamer harga, kita dapat buat keputusan sama ada nak terus beli atau survei di tempat lain,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Sembilan Khairuddin Yunus pula berkata inisiatif itu dilihat menyebelahi pengguna kerana mereka boleh memilih sama ada membeli ubat di klinik atau hanya meminta deskripsi daripada doktor dan membeli di farmasi yang menawarkan harga lebih murah daripada klinik swasta.

“Kalau di farmasi, kita dapat tahu harga sesuatu ubat itu berapa tetapi jika di klinik swasta, pengguna tidak tahu harga ubat yang dikenakan, nak tak nak mereka terpaksa bayar. Mekanisme ini adalah satu keputusan yang disambut baik sebab pengguna tahu harga sesuatu perkhidmatan yang dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam kalangan pengamal farmasi, sebahagian mengakui mereka telah mula melaksanakan pemaparan harga ubatan sejak awal tahun ini.

Seorang ahli farmasi di Taman Ara Jaya, Tasek Gelugor, Pulau Pinang Siti Sarah Romli berkata inisiatif tersebut telah dilaksanakan sejak Februari lepas dengan membuat senarai ubatan dan harga jualan ke dalam sistem di tablet supaya mudah untuk diakses pelanggan.

“Masa awal dengar mengenai pelaksanaan MKHU ini lagi kita dah mula buat sikit-sikit. Bila dah tahu penguatkuasaannya hari ini, kita dah siap tetapi ada beberapa perincian yang perlu diperbetul dan ditambah dalam senarai itu supaya mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Meskipun menyambut baik inisiatif itu, Siti Sarah berharap perbincangan lebih khusus dapat dibuat bersama pihak farmasi komuniti terutama farmasi persendirian bagi membolehkan situasi menang-menang dicapai susulan pelaksanaan mekanisme tersebut.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan