JENAYAH & MAHKAMAH

BAYI DUA BULAN CEDERA DISYAKI DIDERA IBU BAPA KANDUNG

07/05/2025 12:24 AM

MELAKA, 6 Mei (Bernama) -- Seorang bayi lelaki berusia dua bulan mengalami kecederaan dalam kepala disyaki didera ibu dan bapanya di sebuah rumah di Sungai Petai, Alor Gajah, semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata polis menerima laporan berkaitan kecederaan itu daripada pegawai perubatan Hospital Melaka.

"Bayi berkenaan ditinggalkan ibunya yang berusia 22 tahun di hospital itu dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas mendakwa bayi itu diserang sawan.

"Pemeriksaan oleh pegawai perubatan hospital itu mendapati bayi berkenaan mempunyai kesan kecederaan baharu dan lama lalu membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata ibu bayi itu ditahan di hadapan wad Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) hospital berkenaan kira-kira 6.30 petang tadi.

 Polis daripada Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Melaka, katanya turut menahan bapa bayi terbabit, berusia 22 tahun kerana dipercayai terlibat sama mendera anaknya.

Dzulkhairi berkata pasangan terbabit yang tidak bekerja didapati negatif terhadap dadah dan mereka akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan