TUARAN, 6 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata jumlah keseluruhan hasil negeri daripada Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) meningkat kepada RM7 juta pada 2024, berbanding RM6.7 juta pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata hasil CoBT tersebut diperoleh daripada 18 daerah yang aktif dalam sektor berkenaan, yang terus menunjukkan perkembangan pesat khususnya di kawasan pedalaman Sabah.
"Pelancongan merupakan antara teras penting dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dan Kiulu muncul sebagai satu daripada perintis utama dalam pembangunan CoBT.
“Saya mahu CoBT dibangunkan secara aktif kerana potensinya dalam mengembangkan dan menjana ekonomi di kawasan pedalaman negeri ini," katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2025 di Dewan Masyarakat Kiulu di sini hari ini.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada empat persatuan CoBT di Sabah yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat universiti serta satu persatuan pelancongan dari Taiwan, termasuk Persatuan Pelancongan Kiulu.
Beliau berkata tiga CoBT lagi ialah Persatuan Pelancongan Tambunan, Persatuan Pengusaha Kopi Sabah dan Persatuan Komuniti Wanita Kampung Tambatuon Kadamaian Kota Belud.
Hajiji berkata kerjasama ini dijangka membawa manfaat besar dalam pemindahan ilmu dan pemerkasaan komuniti pelancongan setempat.
Selain itu, Hajiji berkata Persidangan Pelancongan Berasaskan Komuniti akan dianjurkan buat kali pertama oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah pada Jun ini di Kota Kinabalu, sebagai satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh sektor pelancongan Sabah.
Ketua Menteri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1.1 juta bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.
Hajiji berkata Sabah menerima sebanyak 923,709 pelancong pada suku pertama tahun ini, iaitu sekitar 26 peratus daripada sasaran keseluruhan 3.5 juta pelawat tahun ini.
“Saya yakin ia berpotensi untuk melebihi sasaran seperti prestasi pada 2024 dengan kehadiran 3.2 juta pelawat berbanding sasaran awal 3 juta pelancong,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya kemudahan infrastruktur luar bandar dipertingkatkan sebagai asas untuk menyokong pertumbuhan pelancongan dan pertanian.
“Infrastruktur yang baik bukan sahaja memberi keselesaan kepada rakyat tempatan, malah menjadi tarikan utama kepada pelancong asing dan domestik,” katanya sambil menyeru rakyat supaya terus menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh pembangunan sektor pelancongan yang menjadi pemangkin utama ekonomi Sabah.
Pada majlis itu, Hajiji turut mengisytiharkan Dewan Masyarakat Kiulu, kini dikenali sebagai Dewan Masyarakat OKK Rampas.
-- BERNAMA