KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- CLSA Securities Malaysia Sdn Bhd (CLSA) hari ini secara rasminya melancarkan waran berstruktur di Bursa Malaysia Securities Sdn Bhd.
Ketua Negara CLSA Malaysia Kit Lim berkata firma itu menjadi penerbit waran berstruktur antarabangsa kedua dalam pasaran Malaysia.
Pada kemunculannya, CLSA memperkenalkan enam waran yang dikaitkan dengan beberapa syarikat yang paling aktif didagangkan, termasuk MYEG Services Bhd dan Gamuda Bhd.
Syarikat lain ialah Genting Bhd, Inari Amerton Bhd, Petronas Chemicals Group Bhd dan YTL Power International Bhd.
“Nama-nama ini sangat dikenali dalam kalangan pelabur Malaysia, dan ini merupakan permulaan.
“Kami berharap dapat meluaskan liputan kami, memperdalam penglibatan dengan pelabur, dan membina pengalaman dagangan yang sepadan dengan cita-cita pasaran runcit Malaysia yang semakin berkembang,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis penyenaraian Waran Berstruktur CSLA Securities Malaysia hari ini.
Sementara itu, Pengarah Derivatif Ekuiti CITIC CLSA Malaysia Zac Chooi berkata syarikat itu merancang untuk mengembangkan perlindungan waran berstrukturnya kepada sebanyak 100 saham menjelang akhir 2025.
“Jadi, pada kadar enam hingga sepuluh nama setiap dua minggu, dan diharapkan menjelang suku ketiga 2025, kami akan memberi liputan kebanyakan saham bermodal besar (permodalan pasaran besar) daripada pelbagai sektor yang layak untuk terbitan waran berstruktur di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata untuk memenuhi kriteria terbitan, syarikat harus mempunyai permodalan pasaran sekurang-kurangnya RM500 juta.
Oleh itu, CLSA akan memberi tumpuan terutamanya kepada saham bermodal sederhana hingga besar, terutamanya dalam sektor yang berkemungkinan menarik minat pelabur, katanya.
"Pada masa ini, kami mengeluarkan saham tunggal di sini. Kami turut merancang untuk meneruskan dengan pengeluaran waran indeks," katanya.
Mengulas mengenai permintaan untuk terbitan bermodal besar, Chooi berkata ini berkait rapat dengan aktiviti pasaran yang lebih luas, sambil menambah, secara keseluruhannya, syarikat berpendapat pasaran telah menunjukkan prestasi yang baik.
CLSA ialah sebahagian daripada CITIC CLSA, anak syarikat milik penuh dan platform luar negara CITIC Securities, bank pelaburan terkemuka China.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Fad’l Mohamed berkata bursa itu telah mencapai gabungan penyertaan daripada kedua-dua pelabur institusi dan runcit, dengan penyertaan institusi menyumbang 59 peratus manakala penyertaan runcit pada 41 peratus.
Beliau berkata purata nilai dagangan harian waran berstruktur menunjukkan aliran menaik yang luar biasa, meningkat daripada RM56 juta pada 2023 kepada RM123 juta pada 2024, yang mencerminkan penerimaan luas waran berstruktur sebagai pilihan pelaburan yang dapat meraih peluang pasaran.
“Dengan CLSA menyertai pasaran waran berstruktur kami, pelabur mendapat akses kepada peluang yang diperluas dan portfolio instrumen yang disokong oleh instrumen tempatan.
“Langkah ini menyokong kerancakan pasaran, sambil mengutamakan inisiatif yang bertujuan memperkasakan penyertaan dan pertumbuhan pelabur,” katanya.
-- BERNAMA