IPOH, 25 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) adalah teknologi masa hadapan yang harus dikuasai terutama di peringkat sekolah.
Beliau berkata negara kini semakin maju dan memperoleh pelaburan tinggi khususnya dalam bidang semikonduktor, pusat data serta AI dan jika pelajar ingin berjaya, mereka harus menguasai ilmu baharu.
“Kita mesti menguasai digital, menguasai AI dalam bidang apa sekalipun, itu teknologi masa depan, jika anda ingin berjaya, anda perlu menguasai teknologi ini... sebab itu, di universiti sekarang kita ada fakulti AI.
“Saya harap sekolah juga cepat… kita tidak boleh rancang untuk lima tahun sebelum mula...mesti mulakan tahun itu juga, kalau tak boleh 100 sekolah, mula 50 sekolah... harus ada keberanian untuk bawa perubahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Santuni Kasih Bersama Pelajar-Pelajar Parlimen Tambun dekat sini hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri berkata penguasaan Bahasa Inggeris penting dari sudut perdagangan dan susulan perkembangan ekonomi negara China, penguasaan Bahasa Cina juga dilihat sebagai satu keperluan.
Beliau juga berkata walaupun Malaysia telah mencatatkan kemajuan yang baik namun ia masih berdepan masalah tenaga kerja khususnya jurutera bagi memenuhi permintaan pelbagai syarikat yang melabur di negara ini.
“Sekarang kita ada syarikat-syarikat AI, digital dan semikonduktor yang terkenal tetapi kalau kita kekal unjuran yang ada, kita akan kurang 30,000 jurutera,” katanya.
Anwar turut menegaskan beliau tidak mahu fahaman sempit yang menilai individu berdasarkan warna kulit dan agama tular di sekolah.
Perdana Menteri berkata fahaman itu, yang disifatkan beliau sebagai bodoh, akan memecahbelahkan rakyat dan merosakkan negara ini.
“Saya tak kira sekolah Melayu, sekolah agama, sekolah Tamil, sekolah Cina, jangan ada fahaman ini kerana ia akan memecah dan merosakkan negara kita," katanya.
-- BERNAMA