AM

RAKYAT JANGAN TERGUGAT DENGAN CELOTEH NEGATIF, SEBALIKNYA LIHAT PADA MASA DEPAN NEGARA - ANWAR

25/04/2025 11:28 PM

IPOH, 25 April (Bernama) -- Rakyat diminta untuk tidak tergugat dengan ‘celoteh-celoteh’ negatif termasuk di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, sebaliknya melihat kepada masa hadapan negara dan pencapaian yang dikecapi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat perlu melihat kepada masa depan negara termasuk perkembangan Kecerdasan Buatan (AI) dan latihan anak-anak muda dalam bidang kejuruteraan serta industri-industri lain.

“Saya nak ambil kesempatan ini untuk menunjukkan bahawa jangan kita cuai, jangan kita ambil ringan, jangan kita digugat dengan celoteh-celoteh seperti di Ayer Kuning.

“Kita sekarang cakap pasal digital, AI, negara terancam dengan tarif, hal-hal latihan anak-anak kita dalam kejuruteraan, bakat baharu, tetapi (apa) yang dibicarakan pasal Kristian, Cina, DAP. Saya tidak katakan kita tidak boleh bicara, tapi lihatlah masa depan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Perak, di Stadium Indera Mulia di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Anwar berkata beliau optimis untuk terus membawa masuk pelaburan asing ke negara ini, sekali gus mengangkat martabat Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Kewangan yakin bahawa martabat Malaysia mampu diangkat apabila negara dalam keadaan stabil, politik kukuh, dasar dan kerangka ekonomi serta pembangunan negara jelas, serta pelaksanaan jentera pentadbiran lebih efisen.

“Walaupun saya sudah tua tapi pandangan saya optimis, harapan saya tinggi menggunung, kerana saya benar-benar cintakan negara ini dan melihat kepada keupayaan anak-anak dan rakyat, saya yakin kita boleh angkat martabat semua kaum,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru agar semua pihak fokus kepada usaha untuk melahirkan generasi berdaya saing yang bersedia menghadapi cabaran masa depan, khususnya melibatkan teknologi tinggi seperti AI.

Beliau yang dalam lawatan kerja sehari di Perak hari ini, menegaskan Malaysia mampu melonjak ke satu tahap yang lebih baik, sekiranya disokong dengan barisan pimpinan negara yang bersih dan tidak mudah digugat oleh anasir yang melemahkan jentera pentadbiran awam.

Terdahulu, lebih 15,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 anjuran Kerajaan Negeri Perak dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku kementerian peneraju.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan