Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 25 April (Bernama) – Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong membuat rayuan peribadi kepada rakyat negara itu agar memilih calon yang mengutamakan negara dan rakyat, serta pasukan terbaik yang mampu memimpin Singapura menghadapi ketidaktentuan global.
“Yang paling penting, pilihlah pemimpin yang berintegriti, jujur dan berperibadi baik. Kerana akhirnya, lebih daripada dasar atau janji, apa yang paling penting adalah keperibadian,” kata Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu dalam siaran politik pertama (PPB) parti itu bagi Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) pada Jumaat.
Wong berkata, sekiranya PAP diberi mandat, keutamaannya adalah bekerjasama dengan pasukannya untuk menyatukan rakyat Singapura, melindungi mata pencarian dan menjamin masa depan mereka.
Ini merupakan siaran pertama daripada dua PPB yang diperuntukkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) kepada parti-parti politik yang menampilkan sekurang-kurangnya enam calon pada PRU2025.
Daripada 11 parti yang bertanding, lapan layak untuk PPB yang disiarkan menerusi televisyen dan radio percuma, bagi menyampaikan mesej kempen masing-masing. Tempoh siaran ditentukan berdasarkan bilangan calon yang ditampilkan oleh setiap parti.
Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Pritam Singh, menegaskan peranan partinya di Parlimen dalam memastikan semak dan imbang, serta komited mengemukakan soalan sukar tetapi perlu untuk kepentingan awam.
“Apabila kami mengundi di Parlimen, kami tidak terikat dengan pendirian PAP. Kami menolak dasar yang tidak selaras dengan kepentingan negara, tetapi apabila wajar, kami menyokong rang undang-undang kerajaan dan juga pindaan Perlembagaan,” katanya.
WP menampilkan 26 calon di lapan kawasan pilihan raya, dengan Singh mengetuai pasukan mempertahankan kawasan undi perwakilan kumpulan (GRC) Aljunied yang mempunyai lima kerusi dan merupakan kubu kuat parti itu.
Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP) Dr Tan Cheng Bock membentangkan manifesto parti yang mengandungi lebih 60 cadangan dasar meliputi isu seperti kos sara hidup, penjagaan kesihatan, pekerjaan, gaji dan perumahan.
Beliau berkata kemajuan sosial dan ekonomi Singapura mesti bersifat inklusif dan memberi manfaat kepada semua rakyat, bukan hanya golongan elit.
“Jika kami dipilih, kami akan membawa suara anda ke Parlimen,” katanya.
PSP menampilkan 13 calon di enam kawasan, dengan Dr Tan bertanding di GRC West Coast-Jurong West.
Setiausaha Agung Parti Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Lim Tean, pula berjanji sekiranya dipilih, partinya akan memperjuangkan pendidikan percuma, makanan di sekolah dan penjagaan kesihatan percuma untuk setiap kanak-kanak Singapura.
“Langkah ini akan mengurangkan kos sara hidup ibu bapa dan menggalakkan kadar kelahiran semula untuk membalikkan kadar kesuburan keseluruhan negara yang kini pada paras membimbangkan, iaitu 0.97,” katanya.
Beliau turut menyatakan PAR akan mendesak pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas barangan keperluan serta pengangkutan awam percuma kepada warga emas berusia 65 tahun ke atas.
PAR menampilkan 13 calon di enam kawasan, dengan Lim bertanding di kawasan undi satu kerusi (SMC) Potong Pasir.
Wakil parti lain yang turut muncul dalam PPB termasuk Setiausaha Agung Red Dot United (RDU) Ravi Philemon, Presiden Parti Solidariti Nasional (NSP) Fong Chin Leong, calon Parti Kuasa Rakyat (PPP) Vere Nathan Shen Li, serta calon Parti Demokratik Singapura (SDP) Alfred Tan.
-- BERNAMA