EKONOMI

BUKAN SEMUA KOD QR SELAMAT - KASPERSKY

25/04/2025 01:46 PM

From C. Vinoothene

SINGAPURA, 25 April (Bernama) -- Penggunaan kod respons pantas (QR) dalam kalangan rakyat Malaysia kini telah menjadi kebiasaan baharu, bermula dari perkhidmatan perbankan, pertukaran kenalan, hingga pemesanan makanan.

Bagaimanapun, dengan peningkatan penggunaan kod QR, firma keselamatan siber Kaspersky memberi amaran kepada rakyat Malaysia untuk terus berjaga-jaga terhadap ancaman yang semakin berkembang melibatkan penipuan kod QR.

Menurut Penyelidik Keselamatan Utama Kaspersky, Noushin Shabab, penipuan QR adalah bentuk baharu ancaman siber iaitu apabila penyerang menghasilkan kod QR berniat jahat yang membahayakan keselamatan siber pengguna.

“Penipuan QR ini berlaku apabila kod yang sah ditukar menjadi kod palsu, yang berpotensi mencuri maklumat atau wang pengguna, atau menyebabkan komplikasi lain yang mengancam keselamatan mereka.

“Dengan peningkatan penggunaan kod QR di Malaysia, lebih ramai penyerang melihat ia sebagai peluang untuk mengeksploitasi,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama di GITEX Asia 2025, Marina Bay Sands hari ini.

Menurut Laporan Digital 2025 Global Overview oleh DataReportal, Malaysia menduduki tempat kedua selepas China dalam penggunaan kod QR, dengan 66.1 peratus daripada penduduk aktif menggunakannya.

Noushin berkata penipuan QR sering melibatkan penyerang menggantikan kod QR yang sah di tempat awam dengan kod palsu dan menipu pengguna yang tidak mengesyaki untuk mengimbasnya.

“Kod QR berniat jahat ini biasanya diletakkan di atas kod asal pada papan iklan atau poster dan mengalihkan mangsa ke laman web penyerang,” katanya.

Sementara itu, wakil keselamatan Kaspersky, Oleg Gorobets berkata pengguna boleh melindungi diri mereka dengan menggunakan perisian keselamatan yang disahkan pada telefon mereka yang dapat mengesan aktiviti mencurigakan, termasuk kod QR yang berniat jahat.

“Penyerang menggunakan pelbagai algoritma untuk meniru struktur laman web asal, mengalihkan pengguna ke laman web palsu. Penyelesaian keselamatan yang bagus akan mengesan dan menyekat ancaman ini,” katanya.

Selain itu, Noushin menasihatkan pengguna untuk lebih berwaspada ketika mengimbas kod QR di ruang awam dan sentiasa mengesahkan sumbernya.

“Contohnya, jika ada pelekat QR yang tidak dikenali pada papan iklan atau dinding, itu tidak selamat.

“Atau jika seseorang yang baru anda temui menawarkan kod QR untuk berhubung dengan mereka, itu juga satu tanda amaran. Ketahui sumbernya. Tanya dari mana ia datang, mengapa ia ada, dan ke mana ia mengarah sebelum mengimbas,” katanya.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman baru-baru ini melaporkan 12,110 kes penipuan dalam talian di seluruh negara pada suku pertama 2025, membabitkan kerugian RM573.7 juta berbanding 10,715 kes bernilai RM519.9 juta pada Oktober-Disember 2024.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan