SUKAN

JDT BURU PENAMAT GEMILANG MUSIM DI FINAL PIALA MALAYSIA ESOK

25/04/2025 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Juara Liga Super dan Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT), berazam menutup kempen musim ini dengan penuh bergaya apabila turun menentang Sri Pahang FC dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Ketua jurulatih JDT Hector Bidoglio menyifatkan aksi final itu sebagai amat penting dan menuntut pasukannya mengekalkan rentak cemerlang yang ditampilkan sejak awal musim.

“Ia perlawanan sangat penting. Pemain telah bekerja keras sepanjang musim yang panjang ini dan berada pada tahap prestasi terbaik.

“Kami perlu kekalkan momentum ini kerana esok adalah perlawanan terakhir musim ini. Kami mahu akhiri musim dengan cara terbaik,” kata jurulatih berusia 57 tahun dari Argentina itu dalam sidang media praperlawanan, hari ini.

Bidoglio mengakui berpuas hati dengan perkembangan pasukan, namun mengingatkan bahawa pentas final menuntut komitmen sepenuhnya daripada setiap pemain.

“Saya gembira mengikuti falsafah dan idea kelab serta visi pemilik JDT. Kami berada dalam fasa yang baik, tetapi ini adalah perlawanan akhir dan ia sentiasa sukar. Kami perlu berikan tumpuan sepenuhnya kerana Sri Pahang adalah pasukan yang berkualiti.

“Saya tidak suka bercakap tentang pihak lawan atau pemain mereka. Walaupun saya menganalisis kelebihan individu mereka, tumpuan saya hanya kepada pasukan sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, kapten pasukan Natxo Insa menyifatkan aksi menentang Sri Pahang sebagai cabaran berbeza dan menuntut Harimau Selatan kekal setia dengan identiti permainan mereka.

“Final adalah perlawanan berbeza. Sri Pahang mempunyai pengalaman dalam saingan ini dan mereka adalah antara pasukan besar negara.

“Kami sedar tanggungjawab yang dipikul untuk pertahankan nama JDT, rekod kelab dan gaya permainan kami. Kami sudah bermain cemerlang sepanjang musim, jadi kami mahu akhiri musim dengan rentak sama,” kata pemain tengah berusia 38 tahun itu yang sudah merangkul empat kejuaraan Piala Malaysia bersama JDT sejak 2017, termasuk dua kali berturut-turut pada 2022 dan 2023.

Kali terakhir JDT dan Sri Pahang bertemu di pentas final Piala Malaysia ialah pada musim 2014, yang menyaksikan skuad Tok Gajah muncul juara menerusi penentuan penalti 5-3 selepas terikat 2-2.

Dalam saingan Liga Super musim ini, JDT mencatat dua kemenangan ke atas Sri Pahang  3-0 dan 3-1  di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

JDT kini memburu sejarah untuk menjadi pasukan pertama memenangi ‘triple-treble’ selepas menjulang kejuaraan Liga Super dan Piala FA musim ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan