EKONOMI

UEM EDGENTA METERAI KONTRAK SEDIAKAN PERKHIDMATAN SOKONGAN HOSPITAL BERNILAI S$220 JUTA

25/04/2025 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh tidak langsung UEM Edgenta Bhd, UEMS Solutions Pte Ltd telah menandatangani kontrak dengan ALPS Pte Ltd untuk menyediakan perkhidmatan sokongan hospital di Singapura bernilai kira-kira S$220.48 juta (kira-kira RM735.23 juta).

Syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata kontrak itu menjangkau antara 32 bulan dan lima tahun, dijadual bermula seawal 1 Mei, 2025.

“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025,” kata UEM Edgenta.

Tiada kesan ke atas modal saham terbitan dan berbayar serta pegangan saham pemegang saham besar, katanya.

Syarikat itu berkata risiko utama berkaitan dengan kontrak kebanyakannya melibatkan pengoperasian termasuk potensi perubahan dalam keadaan politik, ekonomi dan kawal selia.

"UEMS mempunyai pengalaman luas dan rekod prestasi yang kukuh dalam menyampaikan perkhidmatan sokongan hospital. Syarikat akan memastikan pematuhan ketat terhadap dasar dan prosedur operasi untuk mengurangkan sebarang risiko berkaitan," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan