KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd telah menerima laporan daripada beberapa broker yang mendakwa pelanggan gagal melakukan log masuk serta insiden akses dan aktiviti perdagangan tidak dibenarkan menerusi akaun dagangan dalam talian pelanggan yang terhad.
Sehubungan itu, pengawal selia dan broker pasaran modal kini dalam keadaan berwaspada selain bekerjasama erat bagi mengenal pasti punca insiden yang dilaporkan berlaku pada tengah hari semalam dan melaksanakan langkah susulan sewajarnya.
“Semua broker telah dinasihatkan untuk segera memaklumkan pelanggan bagi melakukan tetapan semula kata laluan/log masuk dan meningkatkan keselamatan akaun masing-masing.
“Mereka juga perlu melaksanakan langkah keselamatan tambahan bagi meningkatkan pengesahan seperti melaksanakan pengesahan berbilang faktor serta dasar kata laluan yang lebih ketat," , kata SC dan Bursa Malaysia dalam kenyataan bersama hari ini.
SC dan Bursa Malaysia berkata tindakan itu diambil bagi meminimumkan risiko berlakunya akses serta dagangan yang tidak dibenarkan.
Pada masa sama, kedua-dua pihak turut memberi jaminan bahawa integriti pasaran modal Malaysia kekal utuh, malah pasaran beroperasi seperti biasa pada hari ini.
“Kami komited dalam memastikan pasaran kekal adil dan teratur,” katanya.
-- BERNAMA