EKONOMI

POTENSI PENURUNAN TARIF DIJANGKA CERAH SUSULAN RUNDINGAN MALAYSIA, AS - AHLI EKONOMI

25/04/2025 07:19 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Potensi penurunan atau sifar tarif timbal balas bagi Malaysia dijangka menjadi antara hasil positif utama rundingan di antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS) Jamieson Greer semalam.

Ahli Ekonomi Profesor Dr Geoffrey Williams berkata penangguhan sementara pelaksanaan tarif selama 90 hari baru-baru ini memberikan peluang untuk Malaysia berunding bagi mendapatkan terma perdagangan lebih baik, yang berpotensi meningkatkan daya saing perdagangan global negara.

Perintah Presiden yang ditandatangani Presiden AS Donald Trump pada Hari Pembebasan, secara jelas membenarkan rundingan yang boleh menjurus kepada pengurangan atau pemansuhan tarif timbal balas, dan inilah janji dan galakan yang dinyatakan AS.

"Sekiranya hasil ini berjaya dan komitmen untuk mengurangkan atau menghapuskan tarif dan halangan bukan tarif tercapai, tarif timbal balas boleh dihapuskan atau dikurangkan," katanya kepada Bernama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut melihat kemungkinan untuk Malaysia menerima pengecualian atau tarif yang lebih rendah susulan rundingan itu memandangkan Malaysia terus melaksanakan usaha diplomatik mengenai perkara ini.

"Memandangkan tarif timbal balas pada masa ini berjumlah 24 peratus manakala tarif purata bagi Malaysia berdasarkan data Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) adalah 5.6 peratus, kita mungkin akan mencapai kompromi di antara kedua-duanya atau berpotensi untuk mendapat pengecualian," katanya.

Beliau berkata Malaysia kekal komited untuk menjalankan perdagangan dua hala yang adil dengan AS dan berhasrat untuk melihat keseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara ke arah trajektori yang lebih menggalakkan.

Pada 2 April 2025, Presiden AS mengumumkan beberapa siri tarif timbal balas yang memberi kesan kepada pelbagai negara termasuk tarif sebanyak 24 peratus ke atas barangan Malaysia yang pada masa ini ditangguhkan sementara.

Sektor paling mudah terjejas dengan tarif ini termasuk elektrik dan elektronik -- yang merangkumi lebih separuh daripada eksport Malaysia ke AS -- selain produk getah, jentera dan perabot.

Selain Greer, Tengku Zafrul turut bertemu dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick di Washington DC pada  Khamis untuk membincangkan isu-isu berkaitan perdagangan.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Malaysia bersedia untuk terus bekerjasama dengan AS bagi mencari penyelesaian yang dipersetujui bersama berhubung isu tarif timbal balas yang diumumkan oleh pentadbiran Trump.

Malaysia telah menunjukkan kesediaan untuk berunding dengan AS mengenai empat bidang utama: mengurangkan defisit perdagangan, menangani halangan bukan tarif, mengukuhkan langkah-langkah keselamatan teknologi dan keselamatan, serta meneroka kemungkinan perjanjian perdagangan dua hala.

 

Menangani Kebimbangan AS

Menurut MITI, Malaysia akan mencari pendekatan alternatif untuk menangani kebimbangan AS di samping memastikan perdagangan yang saling menguntungkan diteruskan.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata, berikutan Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun ini, negara ini berada dalam kedudukan yang baik untuk memimpin dialog perdagangan AS-ASEAN bagi menangani kebimbangan dua hala dalam rangka kerja serantau.

"Dengan memanfaatkan pasaran US$3.1 trilion ASEAN, platform ini akan memudahkan perbincangan mengenai akses pasaran, pelepasan tarif dan liberalisasi perdagangan.

“Ini bukan sahaja mengurangkan ketegangan perdagangan malah memperkukuh hubungan ekonomi AS-ASEAN serta meneguhkan status Malaysia sebagai rakan perdagangan global yang dipercayai,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Malaysia juga boleh menangani kebimbangan AS dengan kaedah lain seperti melalui Perjanjian Perlindungan Teknologi yang disasarkan, yang tertumpu kepada sektor semikonduktor, aeroangkasa dan ekonomi digital.

“Perjanjian seperti ini akan mengukuhkan perlindungan harta intelek dan menjamin rantaian bekalan kritikal, memenuhi keutamaan AS sambil memajukan Strategi Semikonduktor Nasional Malaysia,” katanya.

AS kekal sebagai pengeksport kedua terbesar Malaysia, yang menyumbang 13.2 peratus daripada jumlah eksport pada 2024.

Menurut laporan Prestasi Perdagangan Malaysia, perdagangan dengan AS meningkat sebanyak 29.9 peratus pada 2024 kepada RM324.91 bilion berbanding 2023.

Perdagangan dengan AS menyumbang 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, dengan eksport ke AS pada 2024 mencapai rekod tertinggi baharu, meningkat 23.2 peratus kepada RM198.65 bilion.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan