KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Bekas pemain bola sepak negara Reduan Abdullah melahirkan rasa kecewa dengan berita beberapa pasukan besar yang bakal menarik diri daripada bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) pada musim hadapan.
Beliau yang juga merupakan bekas jurulatih pasukan UiTM FC, menyifatkan perkembangan itu bukan sahaja bakal mencalarkan imej Liga-M tetapi juga memberi satu petanda berkenaan situasi tidak sihat sukan bola sepak di Malaysia.
“Saya rasa bukan sahaja saya yang risau mengenai situasi ini, tetapi peminat juga risau tentang penarikan diri beberapa pasukan besar dari Liga-M pada musim depan.
“Saya rasa pihak Persatuan Bolasepak Malaysia perlu memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan situasi itu ” katanya ketika ditemui semalam.
Sebelum ini media melaporkan beberapa pasukan besar dilaporkan tidak akan beraksi dalam kancah Liga-M pada musim hadapan antaranya, Perak FC, Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC.
Reduan berkata beliau juga berpandangan bahawa sekiranya pasukan-pasukan besar itu berhasrat menarik diri daripada beraksi dalam kancah Liga-M, ia juga bakal memberi kesan kepada pembangunan bola sepak Malaysia.
“Kalau pembangunan bola sepak kita tak serius, kita akan lihat banyak pemain import dengan pemain warisan bermain di Liga-M nanti.
“Kalau boleh kita tidak mahu situasi itu berlaku. Kita nak lahirkan lebih ramai bakat tempatan sama yang dilakukan satu ketika dahulu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial