KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) yang melabuhkan tirainya baru-baru ini merupakan edisi paling berjaya apabila mencatat rekod kehadiran 294,062 pengunjung serta menjana potensi jualan sebanyak RM1.72 bilion, menurut Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).
Dalam satu kenyataan hari ini, agensi kerajaan itu berkata potensi jualan berkenaan dijana daripada 3,194 tempahan dan 1,512 bakal tukar beli kenderaan, serta 18,824 petunjuk jualan yang mengagumkan.
“Berlangsung dari 9 hingga 15 Mei di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), MAS 2025 menampilkan lebih 200 pempamer dan lebih 500 kenderaan di kawasan seluas 50,000 meter persegi.
“Bertemakan “Shifting the Future,” pameran tahun ini bukan sahaja memecahkan rekod kehadiran, malah turut memperdalam pemahaman orang ramai terhadap ekosistem mobiliti yang sedang berkembang pesat,” katanya.
MAS 2025 mencatat rekod 294,062 pengunjung, meningkat 31 peratus berbanding 2024, mengatasi semua rekod kehadiran sebelum ini pada hari terakhir penganjuran, yang sebahagian besarnya didorong oleh tambahan dua hari sebelum acara itu ditutup.
Acara itu menampilkan 48 pelancaran dan pratonton kenderaan baharu bersama 10,916 sesi pandu uji di trek luar.
“Kenderaan elektrik (EV, kenderaan elektrik hibrid plug-in dan kenderaan elektrik hibrid) merangkumi 51 peratus daripada keseluruhan model yang dipamerkan, menunjukkan peralihan ke arah mobiliti yang lebih hijau,” katanya.
Dalam satu lagi perkembangan ke arah mobiliti generasi akan datang, MARii berkata MAS 2025 turut menyaksikan pelancaran rasmi Skim Pelabelan NxGV Sukarela yang bertujuan memberi pensijilan kepada kenderaan yang memenuhi piawaian tinggi Malaysia dari segi kemampanan, keselamatan dan inovasi.
Ia menambah MAS 2025 menandakan satu pencapaian penting di peringkat serantau dengan ASEAN Unity Drive 2025, iaitu konvoi EV yang menempuh perjalanan sejauh 10,432 kilometer merentas sembilan negara ASEAN dan diiktiraf secara rasmi oleh ASEAN Records.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sebagai pasaran automotif kedua terbesar di Asia Tenggara dan Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk memimpin usaha serantau ke arah teknologi kenderaan hijau dan kenderaan generasi akan datang.
“Ini sangat selaras dengan tumpuan Malaysia terhadap pembangunan garis panduan untuk menyokong pelan hala tuju EV ASEAN sebagai salah satu pencapaian kami ketika menjadi Pengerusi ASEAN.
“Kejayaan MAS 2025 merupakan langkah besar ke arah mencapai matlamat itu dan mengukuhkan rantaian bekalan mobiliti generasi akan datang di rantau ini,” katanya.
Tengku Zafrul menambah walaupun pameran automotif itu telah menjadi platform untuk memacu pelaburan, kerjasama dan inovasi merentasi rantaian nilai ASEAN, MITI juga komited untuk memastikan bahawa PKS dan tenaga kerja Malaysia bersedia menghadapi peluang yang disediakan oleh industri e-mobiliti serantau yang lebih berdaya tahan.
MARii seterusnya berkata Malaysia Autoshow akan kembali pada 2027, berpotensi dalam suasana yang baharu dengan menawarkan pengalaman yang lebih baik kepada pengunjung dan pemain-pemain industri.
“Acara ini akan terus berkembang sebagai platform utama serantau untuk mobiliti, inovasi dan teknologi pengangkutan bersih,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial