WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KECERGASAN PEMAIN FOKUS UTAMA KEM LATIHAN SKUAD KEBANGSAAN DI JOHOR BAHRU

19/05/2025 09:53 PM

JOHOR BAHRU, 19 Mei (Bernama) -- Meningkatkan tahap kecergasan pemain menjadi fokus utama sepanjang kem latihan pusat skuad bola sepak kebangsaan sebagai persediaan menghadapi perlawanan kedua Kumpulan F saingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, Jun ini.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Peter Cklamovski berkata tahap kecergasan pemain perlu dipertingkatkan, terutamanya selepas mereka baru sahaja menamatkan kempen Liga Malaysia dan menjalani rehat selama empat minggu.

“Fasa pertama sangat penting buat kami kerana pemain baru sahaja kembali selepas empat minggu bercuti sempena tamat musim.

“Mereka telah mengikuti program latihan individu dengan baik di luar kem. Jadi, saya teruja untuk kembali bersama mereka di atas padang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jurulatih berusia 46 tahun dari Australia itu turut memaklumkan pasukan kejurulatihan akan menyediakan pelan latihan secara individu bagi setiap pemain.

“Kami mempunyai pelan pembangunan dan program latihan secara individu. Oleh itu, saya dan barisan kejurulatihan sentiasa berhubung rapat dengan setiap pemain. Kami akan merangka program tersendiri bagi setiap pemain untuk membantu mereka meningkat dan menjadi lebih baik,” katanya.

Cklamovski berkata kem latihan yang bermula hari ini di Johor Bahru akan dilaksanakan dalam tiga fasa berbeza.

Beliau sebelum ini memaklumkan setiap fasa telah dirancang dengan objektif tertentu, satu pendekatan yang disifatkannya sangat unik dan amat diperlukan berdasarkan keadaan semasa pemain serta jadual bola sepak tempatan.

Berdasarkan senarai pemain yang dipanggil, Cklamovski mengekalkan 25 pemain daripada skuad yang menentang Nepal pada perlawanan pertama Kumpulan F, Mac lepas.

Beberapa muka baharu turut dipanggil termasuk pemain daripada skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan