KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd mengesahkan bahawa isu melibatkan dagangan yang tidak dibenarkan yang dikesan pada 24 April, 2025 telah diselesaikan.
Sehubungan itu, para pelabur yang terjejas telah diberi jaminan bahawa mereka tidak akan menanggung sebarang kerugian akibat insiden berkenaan.
Dalam satu kenyataan, bursa itu berkata pihaknya telah mencapai kata sepakat dengan broker-broker yang terjejas, disokong oleh broker rakan niaga untuk menguruskan dagangan yang tidak dibenarkan berkenaan.
“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, dagangan yang tidak dibenarkan terhad kepada sebilangan kecil akaun dagangan dalam talian pelanggan broker,” katanya.
Bursa Malaysia juga menjelaskan bahawa sekuriti dan hasil yang terjejas, yang telah ditahan sejak 27 April, 2025 bagi tujuan siasatan, akan dikeluarkan selepas tindakan pasca dagangan pada 20 Mei, 2025.
“Dalam kebanyakan kes, proses ini akan mengembalikan sekuriti dan hasil kepada pelabur, sekali gus mengembalikan kedudukan mereka ke tahap sebelum insiden berlaku,” kata bursa itu sambil menambah bahawa siasatan penuh masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
Sehubungan itu, Bursa Malaysia sekali lagi mengulangi komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan industri bagi memastikan pelabur dilindungi dan mengekalkan keyakinan terhadap pasaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial