PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Syarikat pengeluar pesawat Eropah, Airbus menyasarkan potensi besar bagi pesawat jenis A220 di Malaysia yang disifatkan sebagai pengangkut sempurna untuk perkhidmatan serantau.
Presiden Airbus Asia Pasifik Anand Stanley berkata bahawa syarikat itu sedang berbincang dengan pengendali syarikat penerbangan tempatan berhubung potensi A220 berkenaan.
Beliau berkata ini juga menepati kedudukan Malaysia sebagai penghubung utama antara China, India dan ASEAN selain ciri-ciri A220 yang sesuai untuk menampung keperluan penerbangan jarak jauh rantau ini.
Selain menampung laluan serantau seperti di Malaysia, pesawat itu juga dapat mewujudkan rangkaian pengangkut penghantar untuk laluan serantau yang lebih jauh selain antara benua, katanya.
“Berdasarkan faktor itu, kami menyasarkan potensi permintaan pengendali di Malaysia...kami juga berharap Malaysia akan mempertimbangkan pesawat ini.
“Walaupun masih di peringkat rundingan, tetapi adalah menjadi harapan kami untuk melihat A220 di Malaysia,” katanya pada sesi meja bulat media di sini, hari ini.
Pada masa ini, Stanley berkata A220 digunakan oleh pengendali seperti Korean Air, Qantas Airways dan Air Niugini yang juga syarikat penerbangan kebangsaan Papua New Guinea.
Menurutnya, A220 tidak hanya menawarkan teknologi terkini serta kecekapan pelepasan karbon bagi setiap tempat duduk, tetapi turut memberi keselesaan kepada penumpang.
“Sekiranya anda melihat aspek pengalaman penerbangan, penumpang dan seterusnya kapasiti pesawat, A220 ini boleh menjadi pesawat serantau yang sempurna. Pesawat ini adalah jenis panjang serta hebat.
“Berpandukan semua alasan ini, kami sendiri amat teruja untuk melihat A220 menjadi pesawat sempurna bagi Malaysia dan rantau ASEAN,” katanya.
Stanley berkata secara keseluruhannya terdapat kira-kira 150 pesawat komersial Airbus yang sedang beroperasi di Malaysia dengan sekitar 400 pesanan bagi penghantaran akan datang.
“AirAsia adalah pelanggan utama bagi kumpulan pesawat jenis A320 serta A330 manakala Malaysia Airlines mengendalikan semua pesawat badan lebar Airbus, termasuk A330neo dan A350 yang juga peneraju pesawat jarak jauh,” katanya.
Malaysia juga merupakan pasaran ketiga terbesar bagi Airbus di kawasan Asia Pasifik selepas China dan India dan syarikat itu melihat kepentingan Malaysia dalam strategi serantaunya.
Atas alasan itu, beliau berkata pejabat baharu Airbus di sini akan berperanan sebagai pusat yang merangkumi 170 pekerja dengan tumpuan utama menyediakan khidmat pelanggan bagi 60 syarikat penerbangan dan sekitar 1,000 pesawat di seluruh dunia yang akan turut meliputi perkhidmatan jam penerbangan dan sokongan komponen bagi kumpulan pesawat A330 dan A350.
Pada edisi ke-17 acara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang berlangsung pada 20-24 Mei ini, Stanley berkata Airbus akan mengetengahkan paparan statik A400M daripada Luftwaffe Jerman dan A400M Tentera Udara Diraja Malaysia serta helikopter korporat mewah ACH160.
Airbus akan turut menampilkan model A220, A400M, H225M, satelit pengawasan bumi Pleiades Neo, platform stesen altitud tinggi Zephyr serta sistem pemantauan udara tanpa anak kapal atau secara kawalan jarak jauh Flexrotor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial