KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Huzairi Zainal Abidin sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya yang baharu, berkuat kuasa masing-masing pada 16 Mei dan 2 Mei lepas.
MRANTI dalam kenyataan memaklumkan Hasnol Zam Zam yang merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merupakan individu berpengalaman dan dihormati dalam landskap pentadbiran awam Malaysia dengan rekod prestasi lebih tiga dekad kepimpinan dalam pembangunan dasar, strategi perdagangan dan transformasi institusi yang memainkan peranan menyelia agenda negara berkaitan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).
Sementara itu, Huzairi, yang bertugas sebagai pegawai kanan perkhidmatan awam mewakili Kementerian Kewangan (MOF) berpengalaman luas dalam strategi ekonomi negara dan pentadbiran awam dengan lebih 20 tahun kepakaran berkaitan dasar fiskal, pengurusan makroekonomi, penyampaian perkhidmatan awam dan kewangan Islam.
“Kehadiran dua pemimpin berkaliber tinggi ini dalam Lembaga Pengarah dijangka mengukuhkan lagi pengawasan strategik MRANTI yang kini sedang meningkatkan usahanya untuk mencapai nilai ekonomi yang lebih besar menerusi sains dan teknologi,” menurut kenyataan itu.
Pengerusi MRANTI Prof Dr Rofina Yasmin Othman dalam kenyataan sama berkata pelantikan itu menandakan satu episod pembaharuan bagi MRANTI.
Beliau berkata kedua-dua pemimpin itu mempunyai pandangan jauh yang strategik dan pengalaman praktikal dalam membentuk dasar negara serta rangka kerja ekonomi dan penglibatan mereka melangkaui tadbir urus konvensional mewakili visi selari yang akan mentakrifkan semula bagaimana Malaysia memanfaatkan inovasi untuk daya saing global.
"Kepimpinan mereka hadir pada detik yang penting. Kami bukan semata-mata menyesuaikan diri dengan perubahan, tetapi mereka bentuk masa depan inovasi Malaysia. Dengan bimbingan mereka, MRANTI akan membuat penemuan baharu dalam menterjemahkan penyelidikan kepada impak ketara, memastikan kedudukan negara sebagai peneraju kemajuan teknologi.
“Di sinilah visi bertemu pelaksanaan dan bersama-sama, kami akan menetapkan penanda aras baharu yang belum pernah dicapai sebelum ini untuk inovasi Malaysia,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata Hasnol Zam Zam dan Huzairi meningkatkan keupayaan strategik agensi itu pada masa yang tepat.
“Gabungan unik kepintaran mengenai dasar dan kepakaran strategi ekonomi mereka merupakan pemangkin yang sempurna dalam pada kami memperhebat fokus untuk mengkomersialkan teknologi termaju.
“Pengukuhan kepimpinan ini membolehkan MRANTI merapatkan jurang kritikal antara penyelidikan inovatif dan penyelesaian sedia pasaran yang menangani kedua-dua keutamaan negara dan permintaan global,” katanya.
Rais berkata pengukuhan kepimpinan itu terbukti strategik ketika Malaysia kini memasuki fasa transformasi digital seterusnya.
Beliau berkata pendekatan sektor tertumpu MRANTI - merangkumi teknologi sempadan daripada AI kepada bioteknologi - kini memperoleh dasar yang canggih dan wawasan ekonomi yang diperlukan untuk mengemudi landskap pengkomersialan yang kompleks.
“Evolusi Lembaga Pengarah ini mentransformasikan keupayaan institusi pada masa persaingan global untuk kepimpinan teknologi semakin sengit, memastikan saluran inovasi Malaysia memberikan impak ekonomi dan kedaulatan strategik,” tambahnya.
Hasnol Zam Zam memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada 1988 sebagai Penolong Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan telah memegang pelbagai peranan kepimpinan di pelbagai kementerian termasuk sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah Program Transformasi Ekonomi dan terlibat dalam agenda pembaharuan struktur dan pemodenan ekonomi Malaysia.
Penglibatan strategiknya yang merentasi kementerian menjadikan beliau aset berharga kepada Lembaga Pengarah MRANTI sambil agensi itu terus memperkukuh peranannya dalam membina ekosistem inovasi yang tangkas dan kebal menghadapi cabaran masa depan selaras dengan matlamat pembangunan negara.
Huzairi yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah di Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan bertanggungjawab menyelia pelaksanaan dan pemantauan prestasi pakej rangsangan ekonomi terbesar Malaysia seperti PRIHATIN, PENJANA dan KITA PRIHATIN yang berjumlah lebih RM30 bilion berbentuk bantuan dan tindakan pemulihan.
Sebelum ini, beliau berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri sebagai Pengarah Bahagian Sekretariat dan Pengurusan Perkhidmatan yang berperanan menyelaras program dan penglibatan penting untuk Perdana Menteri di samping memberikan nasihat berkaitan dasar merentasi ekonomi, pendidikan, pembangunan serantau dan transformasi perkhidmatan awam.
Beliau juga pernah memainkan peranan sebagai Pegawai Khas kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan sebagai ahli lembaga pengarah yang mewakili MOF di AmanahRaya Investment Management Sdn Bhd selain pengalaman beliau dalam tadbir urus, pengurusan fiskal, penyelarasan pihak berkepentingan dan kewangan Islam menawarkan pengamatan serta idea berharga kepada usaha MRANTI untuk memacu inovasi dengan integriti dan kebijaksanaan ekonomi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial